Tuesday, April 26, 2016

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2016

BEBERAPA hari sahaja lagi! Acara tahunan  yang ditunggu oleh para penulis buku, penggemar buku, pembaca buku, pencinta buku, pengumpul buku dan segala yang berkaitan buku. Tahun ini bukan di PWTC ya, (buat pertama kalinya dan mungkin akan jadi lokasi kekal?) PBAKL berpindah lokasi ke MAEPS, Serdang. Di mana tu? Google Maps kan ada. Atau gunalah G.P.S.!

Saya akan berada di reruai ITBM di Dewan C, untuk promosikan Kumpulan Cerpen G.P.S, D Bawah Langit Copanhagen dan buku-buku lain yang saya ikut tulis (kalau ada).  Khabarnya ITBM ada banyak benar promosi, daripada harga buku serendah RM5 sampailah peraduan yang membolehkan pengunjung menang hadiah pelancongan ke Turki! Begitu sekali nak menggalakkan kita membaca!

Jadi mai-lah ramai-ramai, kita jumpa dan berkenalan!

Sesi saya pada hari Sabtu ini 30/4/16, pukul 4 petang. Jumpa nanti naaa!

Mai tau, jangan tak mai!

Wednesday, April 13, 2016

balik ke dunia majalah (untuk sebentar...)

MULAI April, saya kembali ke dunia majalah sebagai penuliis tamu InTrend. Beberapa bulan sahaja, demikian kata sahabat baik Rosie (Editor Pengurusan InTrend), ketika menghubungi saya. Saya ragu mulanya, sebab memikirkan komitmen, takut tak menang tangan, takut tak sempat mengejar deadline mereka, lagipun saya sudah lama benar tak membelek majalah gaya hidup dan seumpama dengannya. Tetapi memikirkan kepercayaan yang diletakkan pada diri dan rasa perlu menolong sahabat, saya menyanggup juga. Saya fikir, yang penting saya masih bebas buat kerja di mana-mana & bila-bila waktu saya suka, juga boleh menulis bertemankan televisyen seperti rutin.  :)

Okey, selamat membaca buah tangan saya dalam ruangan Portfolio bulan ini, kerja berpasukan bersama team InTrend.

Selamat membaca #GENIUSKOMEDI! edisi April 2016





Saturday, February 27, 2016

K-PaP edisi Mac 2016





KATA PENGARANG KATA PEMBACA (K-PaP)
5 Mac 2016 (Sabtu)
10.30 pagi - 12.30 tengah hari
Rumah Pena, Kuala Lumpur

Jom ramai-ramai. Jangan malu-malu. Jangan segan-segan. 
Dapat jumpa-jumpa, bincang-bincang, kenal-kenal, mesra-mesra...gitu!



Dua buku yang akan dibincangkan dalam K-PaP edisi Mac ini.

Saturday, January 09, 2016

2016, Saya Datang!

SEDAR tak sedar (sebenarnya buat-buat tak sedar) setahun sudah berlalu tanpa apa-apa catatan di sini. Entah, tak tahu saya sibukkan apa … mungkin saya fokus kepada urusan lain dan malas nak kisah akan blog ni.

(Barangkali pada tahun 2016, saya akan kembali menulis di sini (?) Bukan janji, jauh sekali azam. Kalau perlu, ya. Kalau tak perlu menulis apa-apa di sini, maka akan duduk senyap saja dalam “gua”.)

Alhamdulillah, ada beberapa perkembangan menarik mengenai projek penulisan saya pada penghujung 2015 lalu. Kumpulan Cerpen G.P.S. (ITBM), Kumpulan Cerpen Remaja Menuai Emas (DBP) dan Novel Remaja Mamaku Menteri (DBP) keluar hampir serentak pada hujung tahun. 

G.P.S., himpunan 13 buah cerpen, semuanya karya baru yang tak pernah terbit di mana-mana sebelum ini. Menuai Emas, menghimpunkan 18 buah cerpen remaja, bukan karya baru sangat, maksudnya semua karya itu pernah tersiar sebelum ini dalam pelbagai media cetak. Mamaku Menteri, juga karya baru (?), sebenarnya ini versi novel, kerana Mamaku Menteri ada dalam versi cerpen remaja dengan judul yang sama (Mamaku Menteri, HSKU 2007). 

Tak perlu tulis panjang. Saya belanja gambar. Gambar sama seperti di sebelah, jadilah...!



G.P.S. (Kumpulan Cerpen)
Terbitan: ITBM, 2015
Muka surat: 181
Harga: RM25 (Semenanjung) / RM30 (Sabah/Sarawak)




Menuai Emas (Kumpulan Cerpen Remaja)
Terbitan: DBP, 2015
Muka surat: 214
Harga: RM18



Mamaku Menteri (Novel Remaja)
Terbitan: DBP, 2015)
Muka surat: 273
Harga: RM16

Monday, February 17, 2014

Buku Terkini - Di Bawah Langit Copenhagen

Foto dari Facebook ITBM

SAYA hilang berbulan-bulan dari 'rumah' ni. Saya ada, sesekali melawat ke sini, tetapi selalunya tengok dari luar rumah saja. Mungkin saya semakin kurang mesra dengan media sosial tertentu. Sekarang paling banyak di instagram saja sebab di sana, gambar yang bercerita, jadi saya tak perlu membebel banyak.

Okey, saya tak mahu membebel banyak. Ini buku terkini saya. Terima kasih kepada ITBM, walaupun saya terpaksa menunggu lama, tetapi saya tetap sabar gitu! Saya tak suka puji buku sendiri tetapi saya nak puji designer yang design kulit buku ini - sahabat saya Sinaganaga, kerana menghasilkan cover buku yang ringkas tetapi sikit klasik. Sama seperti apa yang saya fikirkan.

Di Bawah Langit Copenhagen (Kumpulan Cerpen) - ada 20 buah cerpen terhimpun di sini. Semuanya pernah diterbitkan secara eceran sebelum ini.   Tahun lepas (2013), saya perlahan sedikit kerana terikat dengan banyak juga kerja sampingan berkaitan penulisan (terutamanya menyunting dan mengajar). Apabila banyak menyunting karya orang lain, karya sendiri pun tak sempat tengok. Apabila banyak bercakap (dalam bengkel penulisan), idea di tangan jadi sedikit kaku. Inilah satu-satu buku yang sempat keluar tahun lepas (sudah hujung tahun terbitnya.)

DI BAWAH LANGIT COPENHAGEN (Kumpulan Cerpen)
Terbitan: Institut Terjemahan Buku Malaysia (2013)
M/S: 242 halaman
Harga: RM25.00

Kita jumpa lagi dalam coretan akan datang. Bila...entah!

Tuesday, September 03, 2013

Mengapa Kena Tolak?

SAYA menerima beberapa pertanyaan daripada calon pengarang/baru/muda yang meluahkan rasa kecewa kerana manuskrip novel mereka ditolak oleh penerbit. Selalunya ditolak oleh penerbit tanpa diberikan alasan apa-apa. Mereka tertanya-tanya mengapa manuskrip mereka ditolak, apa yang tak kena, apa yang tak menarik dan tak adakah cara untuk manuskrip itu diterima selepas diberikan penambahbaikan. Penerbit (yang diwakili oleh editor) selalunya tiada masa hendak menjelaskan semua ini.  Mereka ada banyak tekanan kerja yang lain dan 1,001 deadline  yang perlu didahulukan. Kecuali manuskrip itu ada potensi dan editor amat berminat, editor mungkin akan ‘luangkan masa’ untuk memberi tunjuk ajar.

Umumnya ada beberapa sebab mengapa manuskrip ditolak. Sebab utamanya adalah...

1) Manuskrip tak sesuai untuk terbitan penerbitan berkenaan. Setiap penerbit ada selera dan kekuatan masing-masing. Ada penerbit kuat dengan novel remaja & kanak-kanak, ada penerbit sinonim dengan novel cinta, ada penerbit dikenali sebagai penerbit karya sastera, ada penerbit dengan karya underground. Oleh itu calon pengarang harus mencari penerbit yang sesuai dengan manuskripnya dan jangan anggap penerbit akan terima apa sahaja manuskrip.

Bagaimana nak cari penerbit yang sesuai?  Kenalah rajin cari, baca dan selidik penerbit-penerbit yang ada. Sekarang mudah sangat hendak ‘kenal’ penerbit; kebanyakannya ada web, FB, Twitter bagai. Bukan setakat kenal penerbit tapi bacalah juga novel yang diterbitkan mereka, terutamanya terbitan mereka yang terkini. Ini penting untuk tahu trend penerbit; mungkin tahun lepas, mereka terbitkan genre itu tapi tahun ini tak lagi.  Oleh itu, baca genre terbitan mereka yang terkini. Telitikan novel-novel terbitan mereka, gaya bahasanya dan cerita yang disampaikan. Ini dapat jadi panduan kepada calon pengarang mengenai selera penerbit.

Ada beberapa perkara lain kita kena ingat. Kadang-kadang manuskrip yang ditolak, bukan sebab manuskrip itu tak bagus tapi kerana tak sesuai diterbitkan oleh penerbit berkenaan pada ketika itu. Kadangkala ada 1-2 perkara dalam manuskrip itu yang perlu dibuang/diubah/dipinda untuk menjadikannya sesuai diterbitkan.  

2) Selain itu terdapat juga beberapa alasan lain seperti:

i. Plot dan jalan cerita yang tak kena, tak logik, tak munasabah, tak menarik atau terlalu biasa. Apabila plot novel tak munasabah,  editor memang tak dapat bantu dan cara paling senang adalah menolak manuskrip itu.

ii. Tatabahasa yang banyak kesalahan, terlalu banyak kesilapan teknikal seperti ejaan salah, penggunaan tanda bacaan yang tak tepat, kesalahan tipografi (menaip) dan seumpama dengannya. Kesalahan teknikal ini memang dapat dibetulkan oleh editor (memang tugas editor untuk buat suntingan) tapi kalau terlalu banyak kesalahan, editor pun tak kuasa. Bahasa bisu editor (yang selalunya tak disuarakan kepada calon pengarang), "Balik belajar bahasa dulu dan belajar menaip sebelum tulis novel!"

Hakikatnya, manuskrip yang ditolak penerbit adalah perkara lazim bagi pengarang.   Orang yang sudah menulis berpuluh tahun pun biasa menghadapi penolakan, apatah lagi orang yang baru bermula. Sekali manuskrip ditolak oleh penerbit, tak  bermakna kena putus asa dan berhenti menulis. Hendak jadi penulis, mesti berjiwa besar; tak boleh sekali manuskrip ditolak, terus merajuk dan tak mahu menulis. Janganlah mengeluh, "saya hantar pada lima penerbit, semua kelima-limanya tolak!" Belajar lagi dan tulis lagi. Insya-Allah peluang yang baik itu akan muncul.  


Selamat menulis.

Friday, April 19, 2013

[Kemas Kini] Bicara Karya Alumni MPR

Antologi MPR 2012
Antologi MPR 2011

Antologi MPR 2010

 BICARA KARYA ALUMNI MINGGU PENULIS REMAJA (MPR).

1) Siti Nurmalaysia - Antologi Puisi dan Cerpen Minggu Penulis Remaja 2010
2) Kalam Pertama - Antologi Puisi dan Cerpen Minggu Penulis Remaja 2011
3) Anugerah Terindah - Antologi Puisi dan Cerpen Minggu Penulis Remaja 2012

Pada:
28 Mei 2013
Masa:
10.00 pagi

Tempat:
Sanggar Lanang, Tingkat 31, Menara DBP, Kuala Lumpur