Showing posts with label sastera. Show all posts
Showing posts with label sastera. Show all posts

Saturday, February 27, 2016

K-PaP edisi Mac 2016





KATA PENGARANG KATA PEMBACA (K-PaP)
5 Mac 2016 (Sabtu)
10.30 pagi - 12.30 tengah hari
Rumah Pena, Kuala Lumpur

Jom ramai-ramai. Jangan malu-malu. Jangan segan-segan. 
Dapat jumpa-jumpa, bincang-bincang, kenal-kenal, mesra-mesra...gitu!



Dua buku yang akan dibincangkan dalam K-PaP edisi Mac ini.

Saturday, January 09, 2016

2016, Saya Datang!

SEDAR tak sedar (sebenarnya buat-buat tak sedar) setahun sudah berlalu tanpa apa-apa catatan di sini. Entah, tak tahu saya sibukkan apa … mungkin saya fokus kepada urusan lain dan malas nak kisah akan blog ni.

(Barangkali pada tahun 2016, saya akan kembali menulis di sini (?) Bukan janji, jauh sekali azam. Kalau perlu, ya. Kalau tak perlu menulis apa-apa di sini, maka akan duduk senyap saja dalam “gua”.)

Alhamdulillah, ada beberapa perkembangan menarik mengenai projek penulisan saya pada penghujung 2015 lalu. Kumpulan Cerpen G.P.S. (ITBM), Kumpulan Cerpen Remaja Menuai Emas (DBP) dan Novel Remaja Mamaku Menteri (DBP) keluar hampir serentak pada hujung tahun. 

G.P.S., himpunan 13 buah cerpen, semuanya karya baru yang tak pernah terbit di mana-mana sebelum ini. Menuai Emas, menghimpunkan 18 buah cerpen remaja, bukan karya baru sangat, maksudnya semua karya itu pernah tersiar sebelum ini dalam pelbagai media cetak. Mamaku Menteri, juga karya baru (?), sebenarnya ini versi novel, kerana Mamaku Menteri ada dalam versi cerpen remaja dengan judul yang sama (Mamaku Menteri, HSKU 2007). 

Tak perlu tulis panjang. Saya belanja gambar. Gambar sama seperti di sebelah, jadilah...!



G.P.S. (Kumpulan Cerpen)
Terbitan: ITBM, 2015
Muka surat: 181
Harga: RM25 (Semenanjung) / RM30 (Sabah/Sarawak)




Menuai Emas (Kumpulan Cerpen Remaja)
Terbitan: DBP, 2015
Muka surat: 214
Harga: RM18



Mamaku Menteri (Novel Remaja)
Terbitan: DBP, 2015)
Muka surat: 273
Harga: RM16

Monday, February 17, 2014

Buku Terkini - Di Bawah Langit Copenhagen

Foto dari Facebook ITBM

SAYA hilang berbulan-bulan dari 'rumah' ni. Saya ada, sesekali melawat ke sini, tetapi selalunya tengok dari luar rumah saja. Mungkin saya semakin kurang mesra dengan media sosial tertentu. Sekarang paling banyak di instagram saja sebab di sana, gambar yang bercerita, jadi saya tak perlu membebel banyak.

Okey, saya tak mahu membebel banyak. Ini buku terkini saya. Terima kasih kepada ITBM, walaupun saya terpaksa menunggu lama, tetapi saya tetap sabar gitu! Saya tak suka puji buku sendiri tetapi saya nak puji designer yang design kulit buku ini - sahabat saya Sinaganaga, kerana menghasilkan cover buku yang ringkas tetapi sikit klasik. Sama seperti apa yang saya fikirkan.

Di Bawah Langit Copenhagen (Kumpulan Cerpen) - ada 20 buah cerpen terhimpun di sini. Semuanya pernah diterbitkan secara eceran sebelum ini.   Tahun lepas (2013), saya perlahan sedikit kerana terikat dengan banyak juga kerja sampingan berkaitan penulisan (terutamanya menyunting dan mengajar). Apabila banyak menyunting karya orang lain, karya sendiri pun tak sempat tengok. Apabila banyak bercakap (dalam bengkel penulisan), idea di tangan jadi sedikit kaku. Inilah satu-satu buku yang sempat keluar tahun lepas (sudah hujung tahun terbitnya.)

DI BAWAH LANGIT COPENHAGEN (Kumpulan Cerpen)
Terbitan: Institut Terjemahan Buku Malaysia (2013)
M/S: 242 halaman
Harga: RM25.00

Kita jumpa lagi dalam coretan akan datang. Bila...entah!

Wednesday, October 17, 2012

Sedikit Cerita di Segamat

BERTANDANG ke Segamat lagi. Destinasi kali ini ke UiTM cawangan Johor bagi memenuhi undangan program Bicara Sastera. Program hasil kerjasama DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor daerah Segamat ini diadakan bagi meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012. Program dua hari ini mempertemukan para penulis, yang berkongsi perjalanan kreatif masing-masing.

Ada Rahimah Muda, Haji Shapiai Muhamad Ramly, Zaid Akhtar, Syukri Sapuan dan Dr. Arbak Othman. Turut hadir novelis Saga, Cikgu A.Talib Hassan. Saya tiba menjelang tengah hari, sebab pagi itu baru bertolak dari KL. Hanya sempat dengar separuh perkongsian pengalaman Puan Rahimah. Tak sempat berbual panjang dengan Mem (saya panggilnya Mem sebab cerpennya ‘Mem Bercoker Emas’ yang menang HSKU 2011 baru-baru ini) sebab dia hendak pulang ke Johor Bharu petang itu juga.

Slot saya pada sebelah petang bersama-sama Zaid Akhtar. Datang dari jauh, jadi saya ambil kesempatan bermalam di sana. Jadi, dapatlah menjengah bandar Segamat bersama-sama Dr. Arbak dan Syukri yang juga bermalam di sana. Peluang bertemu para penulis (tidak kiralah lama atau baru, muda atau tak muda), dapat dimanfaatkan untuk berkongsi cerita, saling tahu perkembangan masing-masing, malah boleh dapat idea untuk projek penulisan seterusnya. Maklumlah kerja-kerja penulisan ini selalunya dilakukan seorang diri, peluang bersua muka kawan-kawan penulis hanya pada waktu tertentu dan sebab itu kena gunakan peluang betul-betul.

Bersama orang penting program,
Prof Madya Ahmad Nawawi (kiri sekali) dan Encik Ainon Hasanal Jalaluddin (kanan). 

Di UiTM Segamat itu, ramai juga calon penulis (malah ada yang sudah bergelar penulis pun). Dalam banyak-banyak UiTM, saya fikir UiTM Segamat itulah yang paling rajin mengadakan aktiviti sastera, walaupun di sana tidak ada pengajian Komunikasi Massa atau Seni Halus.

Kenangan dengan sebahagian peserta program Bicara Sastera.
Terima kasih kepada Prof Madya Haji Ahmad Nawawi Haji Yaakob, Encik Ainol Hasanal Jalaludin dan warga UiTM atas sambutan mesra. Semoga sedikit perkongsian, kita dapat manfaatkan sama-sama. Panjang umur, jumpa lagi.

Sunday, October 07, 2012

Sesudah Acara....

ALHAMDULILLAH, dua karya 'sangkut' untuk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2011; cerpen ‘Hantu Osama’ dan cerpen remaja ‘Menuai Emas’. Dua minggu saya agak tertanya-tanya, cerpen mana yang menang kerana surat undangan terlalu umum. Sementara urusetia majlis Utusan yang saya hubungi bagi mengesahkan kehadiran hanya kata, “Datang majlis nanti, tahulah….”

Set buku sempena HSKU 2011; dua antologi & tiga buah novel remaja.
Hantu Osama dalam antologi Istimewa & Menuai Emas dalam Cerita Akhir Tahun.
Saya tak menang setiap tahun. Lepas menang 2005, 2006 & 2007, saya tak berkarya di media Utusan selama dua tahun dan pada tahun 2010 hanya berada dalam senarai pendek. Jadi tak dapat dinafikan, memang sedikit teruja. Hadir majlis-majlis begini dan berkesempatan bertemu rakan-rakan penulis, selalunya akan memberikan motivasi pada diri.

Itu yang lebih penting sebenarnya. Semangat dan motivasi.

Ramai penulis yang sempat ditemui (termasuk bekas bos-bos di Utusan) tetapi ramai juga yang nampak dari jauh saja. Majlis 3-4 jam memang singkat sebenarnya, apatah lagi kalau dalam majlis itu ada kawan-kawan belaka!

Antara yang sempat ditemui...
Tahniah kepada kawan-kawan yang menang. Yang tak menang pun tetap ada peluang.  HSKU mungkin tidak besar sangat tetapi ia berupa ‘hadiah galakan’  kepada penulis lama dan baru untuk konsisten berkarya, selain jadi satu cara meraikan kesusasteraan kebangsaan.

Salah satu foto kawan-kawan yang saya suka; Ruhaini, Hafizah,
HaniSalwah, SriRahayu, RebeccaIlham dan Ziati.

Monday, May 21, 2012

Gebang Sastera UPSI


Ucapan perasmian oleh Ketua Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu, Datuk Paduka Mohd Rosli Saludin.

Lagu puisi dendangan pelajar.
15 Mei; saya bertandang ke Tanjung Malim untuk program Gebang Sastera (I), yang pertama kali diadakan oleh Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu, UPSI. Terima kasih Sdr. Ehsan Noorzali, pensyarah di sana yang tidak melupakan saya apabila beliau (dan pelajarnya) merancang program ini.

Bersama sahabat penulis, Nisah Haron, kami berkisah topik hak cipta pengarang kreatif. Hak cipta bukanlah kepakaran saya, walaupun saya pernah ambil subjek Undang-undang Hak Cipta ketika di universiti dahulu (dapat A lagi!). Mungkin sebab ‘kurang beramal’, maka pengetahuan itu tinggal sebagai satu maklumat sahaja dalam kepala.

Sebagai bekas editor dan masih jadi pengarang kreatif, perkongsian saya lebih kepada pengalaman mengendalikan beberapa isu yang membabitkan etika dan hak cipta. Ketika menguruskan karya-karya pengarang yang disiarkan di media kendalian saya dahulu, saya banyak ‘bertemu’ pengarang yang tidak sabar. Tidak sabar tunggu karyanya tersiar. Dia e-mel cerpen/puisi hari ini, dan harap karyanya tersiar esok! Selepas sebulan dua tunggu tetapi karya tidak juga tersiar, dia pun hantar ke media lain. Sudah-sudahnya dua media siarkan karyanya serentak! (Mungkin pengarang itu bangga apabila satu cerpennya tersiar di dua media, kalau dia tak sedar bahawa dia telah lakukan kesalahan besar!)

‘Kes’ lain yang saya kira lebih melucukan, apabila menerima karya melalui e-mel, yang juga diCC kepada beberapa editor lain. Malah disertakan nota, “Mana-mana editor yang berminat dengan karya saya ini, sila maklumkan pada saya.” Amboi, dia ingat dia cantik sangat?! Tiada editor yang berminat dengan calon pengarang yang bersikap begini walau sebagus mana pun karyanya.

Isu plagiat juga tidak terkecuali dalam perkara hak cipta. Beberapa tahun lepas, dua cerpen saya (kedua-duanya pernah tersiar di majalah Al Islam) diplagiat. Saya paling ‘kagum’ dengan orang yang plagiat cerpen saya ini sebab salah satu cerpen saya yang diplagiat itu tersiar di majalah sekitar awal tahun 90-an, ketika saya sendiri masih bergelar pelajar. Individu yang plagiat itu adalah pelajar sekolah. (Saya tahu dia pelajar kerana cerpen plagiatnya itu tersiar di ruangan cerpen pelajar.)

Kagum saya sebab dia membaca majalah lama yang barangkali milik emak ayahnya. Saya hargai minat membacanya itu. Barangkali dia terlalu menggemari cerpen itu lalu tanpa fikir panjang menyalin semula cerpen berkenaan. Saya dan editor majalah dengan dibantu seorang teman penulis ‘menegur’ tindakan plagiat ini melalui tulisan kami, bertujuan untuk mendidik. Dan beberapa bulan kemudian, pelajar itu menghubungi saya melalui e-mel, memohon maaf atas tindakannya. Saya sendiri tidak bermasalah memaafkannya kerana sedar dia masih muda dan naif. Kalau saya saman, apa yang saya dapat? Jadi saya mengambil pilihan yang paling kurang mudaratnya.

Tidak ada jalan singkat jika mahu jadi penulis. Mesti usaha keras, diiringi sabar & tabah. Doa dan tawakal. Itulah antara resipi utamanya.

Mudah-mudahan sedikit perkongsian kami berguna buat pelajar (yang juga bakal guru Sastera) yang hadir tempoh hari. Semoga Gebang Sastera (II), (III) dan seterusnya akan menyusul dengan pelbagai perkongsian seputar dunia sastera & penulisan.


Terima kasih para pelajar & pensyarah. Lain kali, insya-Allah, kita bergebang lagi.

Sunday, August 03, 2008

Antologi Kacak Jelita (yang paling sensasi dalam sejarah penerbitan antologi!)



ANTOLOGI KACAK JELITA (yang paling sensasi dalam sejarah penerbitan antologi!)

Penyelenggara: Nasriah Abdul Salam & Hani Salwah Yaakup

Harga: RM20 (Edisi Terhad, 2008)


Idea gila-gila ini tercetus dalam gelak tawa mesra pada majlis makan malam MPR 2007, seperti yang ditulis oleh Khairul Nizam Abd Raub dalam nota hujungnya. Kini antologi kacak jelita jadi kenyataan, bukan angan-angan lagi.

Gabungan 15 orang mantan peserta Minggu Penulis Remaja yang kacak jelita dengan 15 karya mereka (antara yang terbaik); Nasriah Abdul Salam, Shazmee Rizal, Amaruszati Noor Rahim, Rosie Haslinda Nasir, Saharil Hasrin Sanin, Rahimidin Zahari, Shamsudin Othman, Hafizah Iszahanid, Amir Mukriz, Ummu Hani Abu Hassan, Salina Ibrahim, Raihani Mohd Saaid, Hizairi Othman, Muhammad Lutfi Ishak & Ida Munira Abu Bakar.


Ingin miliki antologi ini? Boleh emel: salinaibrahim@gmail.com


Lagi cerita di http://salinaibrahim.blogdrive.com/

Sunday, July 27, 2008

Di Bawah Langit Copenhagen


(Di Bawah Langit Copenhagen, NUR, Januari 2004)

Dia kutemui pada musim panas Copenhagen, suhu 20 hingga 22 Celsius, panas bagi warga Denmark tetapi tetap dingin bagi orang Melayu Malaysia sepertiku. Bertembung di Laszlo Café & Bar, aku sangka aku tersilap dengar ketika wanita di meja sebelah merungut dalam bahasa Melayu sewaktu menerima sajian shawarma (kebab) yang katanya kurang sos cili. Aku menoleh tersentak, dia menoleh kehairanan dan kami sama-sama terjerit kecil.
“Mai?”
“Su?”

2004 saya masih bertugas sebagai wartawan dan antara tugas saya adalah menjaga ruangan Cerpen di majalah NUR sejak majalah ini muncul di pasaran November 2002. Memang sukar untuk dapatkan karya yang sesuai dengan konsep majalah, pertamanya kerana orang masih tidak kenal majalah ini dan kedua, di kalangan penulis yang sudah ada nama pula, memang tak pandang majalah yang berkonsep perempuan seperti ini.

Saya give-up untuk dapatkan karya yang sesuai. Dihambat deadline pula. Saya menulis dan menulis sahaja, menulis di bawah tekanan deadline, stres dan sebagainya. Saya teringat ujaran seorang teman semasa saya jadi panel forum 'Wanita & Karya' di Rumah Pena, mengenai Sindrom Cinderella. Kemudian teringat satu rencana dalam akhbar mengenai lokasi menarik di Denmark. Saya bancuh kedua-duanya dalam karya ini.

Ketika belek Kamus Dewan, saya terjumpa perkataan 'alinea' & saya gabungkan dengan nama abang ketiga saya (dia 'musuh ketat' yang saya sayang!). Majalah siap & saya pun lupa pada karya ini kerana ini antara karya yang bagi saya 'tak sedap' dan sekadar 'main-main'.

Sehinggalah tahun lepas, ketika orang DBP menghantar emel meminta alamat 'penulis' ini, disusuli Mei lepas, sekali lagi orang DBP telefon memaklumkan mengenai kemenangan 'penulis' ini dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 04/05 (dan majlis penyampaian hadiah yang kemudiannya ditangguhkan...), saya masih tertanya-tanya. Saya tanya cerpen apa yang menang, tetapi pegawai itu menjawab, tidak tahu. Susah saya nak percaya selagi tiada keputusan rasmi.

Apa-apapun, terima kasih kepada DBP kerana menilai karya-karya dalam majalah NUR.

"Itulah awak, macam penulis zaman Jepun, guna nama samaran." Dr. Mawar Shafei. (Terima kasih, kawan. Tahniah untuk awak juga.)

Pautan lain; http://salinaibrahim.blogdrive.com/