SAYA menerima beberapa pertanyaan
daripada calon pengarang/baru/muda yang meluahkan rasa kecewa kerana manuskrip
novel mereka ditolak oleh penerbit. Selalunya ditolak oleh penerbit tanpa
diberikan alasan apa-apa. Mereka tertanya-tanya mengapa manuskrip mereka
ditolak, apa yang tak kena, apa yang tak menarik dan tak adakah cara untuk
manuskrip itu diterima selepas diberikan penambahbaikan. Penerbit (yang
diwakili oleh editor) selalunya tiada masa hendak menjelaskan semua ini. Mereka ada banyak tekanan kerja yang lain dan 1,001 deadline yang perlu
didahulukan. Kecuali manuskrip itu ada potensi dan editor amat berminat, editor
mungkin akan ‘luangkan masa’ untuk memberi tunjuk ajar.
Umumnya ada beberapa sebab mengapa manuskrip ditolak. Sebab utamanya adalah...
1) Manuskrip tak sesuai untuk
terbitan penerbitan berkenaan. Setiap penerbit ada selera dan kekuatan
masing-masing. Ada
penerbit kuat dengan novel remaja & kanak-kanak, ada penerbit sinonim
dengan novel cinta, ada penerbit dikenali sebagai penerbit karya sastera, ada
penerbit dengan karya underground. Oleh itu calon pengarang harus mencari
penerbit yang sesuai dengan manuskripnya dan jangan anggap penerbit akan terima apa sahaja manuskrip.
Bagaimana nak cari penerbit yang sesuai?
Kenalah rajin cari, baca dan selidik penerbit-penerbit yang ada. Sekarang
mudah sangat hendak ‘kenal’ penerbit; kebanyakannya ada web, FB, Twitter bagai.
Bukan setakat kenal penerbit tapi bacalah juga novel yang diterbitkan mereka,
terutamanya terbitan mereka yang terkini. Ini penting untuk tahu trend
penerbit; mungkin tahun lepas, mereka terbitkan genre itu tapi tahun ini tak
lagi. Oleh itu, baca genre terbitan
mereka yang terkini. Telitikan
novel-novel terbitan mereka, gaya bahasanya dan cerita yang disampaikan. Ini
dapat jadi panduan kepada calon pengarang mengenai selera penerbit.
Ada beberapa perkara lain kita kena ingat. Kadang-kadang manuskrip yang
ditolak, bukan sebab manuskrip itu tak bagus tapi kerana tak sesuai diterbitkan
oleh penerbit berkenaan pada ketika itu. Kadangkala ada 1-2 perkara dalam
manuskrip itu yang perlu dibuang/diubah/dipinda untuk menjadikannya sesuai
diterbitkan.
2) Selain itu terdapat juga beberapa alasan lain seperti:
i. Plot dan jalan cerita yang tak kena, tak logik, tak munasabah, tak menarik
atau terlalu biasa. Apabila plot novel tak munasabah, editor memang tak dapat bantu dan cara paling
senang adalah menolak manuskrip itu.
ii. Tatabahasa yang banyak
kesalahan, terlalu banyak kesilapan teknikal seperti ejaan salah, penggunaan tanda
bacaan yang tak tepat, kesalahan tipografi (menaip) dan seumpama dengannya.
Kesalahan teknikal ini memang dapat dibetulkan oleh editor (memang tugas editor
untuk buat suntingan) tapi kalau terlalu banyak kesalahan, editor pun tak
kuasa. Bahasa bisu editor (yang selalunya tak disuarakan kepada calon
pengarang), "Balik belajar bahasa dulu dan belajar menaip sebelum tulis novel!"
Hakikatnya, manuskrip yang
ditolak penerbit adalah perkara lazim bagi pengarang. Orang
yang sudah menulis berpuluh tahun pun biasa menghadapi penolakan, apatah lagi
orang yang baru bermula. Sekali manuskrip ditolak oleh penerbit, tak bermakna kena putus asa dan berhenti menulis.
Hendak jadi penulis, mesti berjiwa besar; tak boleh sekali manuskrip ditolak,
terus merajuk dan tak mahu menulis. Janganlah mengeluh, "saya hantar pada lima penerbit, semua kelima-limanya tolak!" Belajar lagi dan tulis lagi. Insya-Allah peluang yang baik itu akan muncul.
Selamat menulis.
4 comments:
Assalamualaikum, Kak Salina. Lama menyepi di blog ya.
Satu perkongsian maklumat yang baik. Dapat membakar penulis muda seperti saya ni untuk terus bersemangat.
Saya ada 2 manuskrip... Nak jual lump sum.... Saya tak ada masa nk bertemu dgn penerbit2... Berbaloikah kalau nak jual lump sum kepada sesiapa yg berminat?
Sdr Sya Haina, secara peribadi saya tak galakkan calon pengarang atau pengarang jual manuskrip secara lump sum.
Pertama: Bayangkan kemungkinan ini, novel sdr mendapat sambutan dan diulang cetak berkali-kali. Disebabkan sdr. telah menjual karya secara lump sum, maka penerbit boleh untuk tidak membayar satu sen pun kepada sdr. hasil jualan ulang cetak itu. Ini kerana penerbit sudah membayar sejumlah wang ketika kali pertama dia membeli manuskrip itu.
Kedua: Untuk jangka masa panjang, katakan sekiranya karya sdr. terpilih untuk dijadikan teks sekolah atau seumpama dengannya yang akan digunakan secara meluas dalam jangka masa tertentu, penerbit akan mencetak karya sdr. dengan jumlah yang besar dan sekali lagi sdr. mungkin tidak akan mendapat apa-apa imbuhan kerana sdr sudah lepaskan hak sdr.
Hanya mengemukakan pendapat. Apa pun, hanya sdr yang faham manuskrip yang sdr kerjakan dan kemungkinan masa depan manuskrip itu.
Selamat berjaya.
Terima Kasih untuk tip penulisan ini,.amat berguna untuk saya mengkaji semula kesalahan karya saya kerana saya memang bermasalah dlm bidang penulisan ini dari segala segi,.tatabahasa,ejaan,plot cerita dan sebagainya,..
Post a Comment