Friday, September 28, 2012

Cerita Aina & Aini



Terkini dalam siri Aina & Aini.
 ALHAMDULILLAH, Aina & Aini sudah memasuki siri ketiga, Aina & Aini: Ratu Drama. Saya tak pernah bercerita panjang mengenai Aina Aini dalam entri-entri sebelum ini. Aina Aini sebenarnya adalah percubaan saya menulis genre remaja, yang saya mulakan pada awal tahun 2011.


Awalnya terasa susah juga hendak menulis novel begini selepas sekian lama menulis novel dewasa. Kebanyakan pembaca saya adalah orang dewasa dan orang muda. Saya fikir, apa salahnya saya menyediakan bahan bacaan untuk anak-anak atau adik-adik mereka yang akan memasuki sekolah menengah atau berada di sekolah menengah. Saya juga banyak membimbing remaja dalam bengkel penulisan dan selalunya saya sukar untuk menunjukkan contoh novel yang sesuai untuk mereka. Oleh itu, saya fikir, perlu juga saya menulis sesuatu yang sesuai untuk mereka sebelum remaja ini beralih membaca novel saya yang lebih serius.

Saya pegang pesanan Puan Asma Fadila (ketika itu beliau Pengurus Penerbitan PTS Litera) berkenaan genre novel Syok!. Antaranya, novel harus diterbitkan secara bersiri tetapi setiap satu boleh berdiri sendiri, ada elemen nakal-gedik-santai-kecoh tetapi sesuai dengan budaya Islam dan fokus kepada sasaran pembaca tertentu.

Maka terciptalah watak Aina dan Aini kembar tidak seiras yang berdepan pelbagai masalah atau menjadi saksi kepada pelbagai kisah. Siri pertama Aina & Aini: Diva Kampung sudah cetakan keempat sejak diterbitkan pada awal tahun 2011, disusuli Aina & Aini: Model Terhangat  pada hujung tahun 2011 (kini cetakan kedua).

Siri pertama.


Siri kedua.

Terbaru inilah ... Aina & Aini: Ratu Drama. Terima kasih kepada cik editor (Cik Adilah) yang sabar mengingatkan saya mengenai manuskrip ini dan sabar juga menunggu saya menyiapkan manuskrip ini walaupun tersasar daripada jangkaan.

Siri seterusnya? Tunggu…. Saya masih sibuk dengan projek lain sekarang! :)