Antara aktiviti yang sempat dirakamkan. |
ALHAMDULILLAH, saya berkesempatan meluangkan masa ke Rumah Penjagaan Anak Yatim Ummu Sofiah di Trong, Taiping Perak. Saya terima pelawaan rakan, Khamisah dan Kusyi untuk menyertai rombongan mereka ke sana . Awalnya memang teragak-agak kerana diburu macam-macam hal, tetapi akhirnya saya terima juga, sebab rasa seperti ditarik-tarik mahu bertemu adik-adik ini.
Kami luangkan Sabtu dan Ahad di sana. Bertolak pagi Sabtu, tidur satu malam dan kemudian balik Kuala Lumpur pagi Ahad. Ini kali pertama saya ke sana, sebelum ini hanya mendengar cerita dari Khamisah dan Kusyi, yang pernah berkunjung Ramadan tahun lepas.
Agenda di sana ringkas sahaja untuk menyampaikan sumbangan hari raya buat adik-adik Ummu Sofiah. Ada beberapa aktiviti juga seperti indoor game dan treasure hunt. Saya lihat adik-adik ini teruja sangat hendak bermain. Mereka ceria, peramah, kebanyakannya tidak segan-silu dengan kami, ada yang suka bercerita dan ada yang suka menempel mendengar cerita kami. Saya sendiri sempat luangkan masa duduk di dorm mereka untuk bersembang dan mengorek cerita adik-adik ini.
Rumah Ummu Sofiah ini bukanlah rumah penjagaan anak yatim yang mewah. Asalnya rumah kampung yang diperbesarkan, ditambah itu ini untuk dijadikan asrama. Kagum mendengar cerita pengasasnya, Puan Faridah, bagaimana beliau dan suami membuka rumah mereka dan menggunakan tanah milik sendiri untuk anak-anak yatim miskin yang mereka jaga ini. Seramai 30 anak yatim dari usia setahun sehingga 17 tahun berada di bawah jagaan mereka sekarang. Sebagai rumah anak yatim swasta, tentulah mereka sangat mengalu-alukan dan menghargai sumbangan sesiapa jua yang sudi.
Teringat kata seorang kawan yang ikut serta, “Nak jaga tiga anak sendiri pun jenuh berperang, ini nak jaga 30 orang, anak orang lain pulak tu!”
Semoga adik-adik Ummu Sofiah riang berpuasa dan beraya tahun ini. Terima kasih kerana menerima kehadiran kami dan meninggalkan kenangan yang cukup manis sepanjang bertamu di sana.
Kami semua le ni... |
1 comments:
usaha yg murni. mungkin boleh diajak kami2 pulak. eloknya kita usung anak-anak sekali agar kita dan anak-anak boleh muhasabah diri sama-sama.
54
Post a Comment