Sesi mencatat & menuangkan idea. Tuan Haji Jalal pening kepala sebab banyak sangat idea? :) Kapten (Bersara) Azila serius saja.... |
Sebahagian lagi peserta... semua bersemangat belaka! Bangga melihat kesungguhan mereka belajar sesuatu yang baru... |
Puan Mazlina Esa, anak gadisnya Nabeelah Aniyyah dan anak saudara, Maryam Siddiqah datang jauh dari Johor untuk berbengkel |
SELEPAS sebulan berehat (sepanjang April), saya kembali ‘bekerja’. Bengkel Penulisan Novel anjuran Akademi Penulis, berlangsung pada 12-13 Mei baru-baru ini. Bengkel kedua bagi tahun ini. Bengkel ketiga (ada yang sudah bertanya), oh, yang itu kena tanya pihak pengurusan Akademi Penulis!
Bengkel dua hari satu malam anjuran Akademi Penulis selalunya jadi cabaran besar buat saya. Pertama; kerana kebanyakan peserta terdiri daripada mereka yang belum pernah menulis karya kreatif, atau yang sudah terlalu lama meninggalkan karya kreatif atau baru hendak berkenalan dengan bidang penulisan kreatif. Oleh itu, sebelum menulis, mereka mesti faham dan kuasai dahulu teori penulisan kreatif, termasuk istilah-istilah yang pasti akan mereka jumpa apabila berbicara mengenai penulisan kreatif.
Kedua, bengkel ini juga mencabar stamina saya secara peribadi. Apatah lagi selepas kesihatan saya terganggu mulai minggu ketiga April lepas, sehingga hari ini saya sebenarnya belum betul-betul pulih. Masih ada saki-baki virus yang menunggu masa menyerang semula andai saya cuai menjaga diri.
Namun seperti biasa, setiap kali mengendalikan bengkel, saya gembira berkongsi teknik penulisan yang saya amalkan berserta pengalaman selama lebih 20 tahun jadi penulis kreatif. Saya seronok mendengar peserta membentangkan idea mereka dan gembira dapat membantu mereka mengorganisasikan semula idea itu supaya mereka tahu di mana hendak memulakannya.
Yang penting, jika hendak jadi penulis, mestilah menulis, selain sabar dan tabah berdepan proses untuk menjadi seorang penulis. Saya doakan semua mereka berjaya menghasilkan karya yang terbaik!
2 comments:
Salam, nampaknya akak tidak jemu-jemu mencurah ilmu untuk melihat atau mencungkil bakat-bakat baru menyambung kelestarian dalam dunia penulisan ini. Tahniah.
Harap akak dapat mengemaskini entri blog selalu dan berkongsi dengan kami.
As-Salam,
Terima kasih Helmi kerana bertandang ke sini. Insya-Allah, akan cuba kemaskini apa yang patut. Selalunya apabila banyak kerja yang mesti didahulukan, mood menulis blog pun terbang pergi. Inipun tugas yang perlukan kekuatan juga :)) Doakan ya untuk kita semua supaya istiqamah dengan tugas.
Post a Comment