Ucapan perasmian oleh Ketua Jabatan Bahasa & Kesusasteraan Melayu, Datuk Paduka Mohd Rosli Saludin. |
Lagu puisi dendangan pelajar. |
Bersama sahabat penulis, Nisah Haron, kami berkisah topik hak cipta pengarang kreatif. Hak cipta bukanlah kepakaran saya, walaupun saya pernah ambil subjek Undang-undang Hak Cipta ketika di universiti dahulu (dapat A lagi!). Mungkin sebab ‘kurang beramal’, maka pengetahuan itu tinggal sebagai satu maklumat sahaja dalam kepala.
Sebagai bekas editor dan masih jadi pengarang kreatif, perkongsian saya lebih kepada pengalaman mengendalikan beberapa isu yang membabitkan etika dan hak cipta. Ketika menguruskan karya-karya pengarang yang disiarkan di media kendalian saya dahulu, saya banyak ‘bertemu’ pengarang yang tidak sabar. Tidak sabar tunggu karyanya tersiar. Dia e-mel cerpen/puisi hari ini, dan harap karyanya tersiar esok! Selepas sebulan dua tunggu tetapi karya tidak juga tersiar, dia pun hantar ke media lain. Sudah-sudahnya dua media siarkan karyanya serentak! (Mungkin pengarang itu bangga apabila satu cerpennya tersiar di dua media, kalau dia tak sedar bahawa dia telah lakukan kesalahan besar!)
‘Kes’ lain yang saya kira lebih melucukan, apabila menerima karya melalui e-mel, yang juga diCC kepada beberapa editor lain. Malah disertakan nota, “Mana-mana editor yang berminat dengan karya saya ini, sila maklumkan pada saya.” Amboi, dia ingat dia cantik sangat?! Tiada editor yang berminat dengan calon pengarang yang bersikap begini walau sebagus mana pun karyanya.
Isu plagiat juga tidak terkecuali dalam perkara hak cipta. Beberapa tahun lepas, dua cerpen saya (kedua-duanya pernah tersiar di majalah Al Islam) diplagiat. Saya paling ‘kagum’ dengan orang yang plagiat cerpen saya ini sebab salah satu cerpen saya yang diplagiat itu tersiar di majalah sekitar awal tahun 90-an, ketika saya sendiri masih bergelar pelajar. Individu yang plagiat itu adalah pelajar sekolah. (Saya tahu dia pelajar kerana cerpen plagiatnya itu tersiar di ruangan cerpen pelajar.)
Kagum saya sebab dia membaca majalah lama yang barangkali milik emak ayahnya. Saya hargai minat membacanya itu. Barangkali dia terlalu menggemari cerpen itu lalu tanpa fikir panjang menyalin semula cerpen berkenaan. Saya dan editor majalah dengan dibantu seorang teman penulis ‘menegur’ tindakan plagiat ini melalui tulisan kami, bertujuan untuk mendidik. Dan beberapa bulan kemudian, pelajar itu menghubungi saya melalui e-mel, memohon maaf atas tindakannya. Saya sendiri tidak bermasalah memaafkannya kerana sedar dia masih muda dan naif. Kalau saya saman, apa yang saya dapat? Jadi saya mengambil pilihan yang paling kurang mudaratnya.
Tidak ada jalan singkat jika mahu jadi penulis. Mesti usaha keras, diiringi sabar & tabah. Doa dan tawakal. Itulah antara resipi utamanya.
Mudah-mudahan sedikit perkongsian kami berguna buat pelajar (yang juga bakal guru Sastera) yang hadir tempoh hari. Semoga Gebang Sastera (II), (III) dan seterusnya akan menyusul dengan pelbagai perkongsian seputar dunia sastera & penulisan.
Terima kasih para pelajar & pensyarah. Lain kali, insya-Allah, kita bergebang lagi. |
0 comments:
Post a Comment