Saturday, June 02, 2012

Buku baru eh?



SAYA tiada buku baru sempena Pesta Buku 2012 lepas. Saya memang sedang menulis sesuatu tetapi tidak sempat siap dan saya pun malas hendak tergesa-gesa. Kuantiti buku saya mungkin agak menurun kerana banyak terlibat dalam training, bengkel dan pelbagai ceramah. Ini pun satu masalah juga; apabila banyak bercakap, kurang menulis! Tiada buku persendirian tetapi saya ada satu buku yang dihasilkan bersama rakan-rakan. Sudah berada di pasaran sejak Pesta Buku lepas. Sayangnya saya tidak dapat ikut mempromosi buku ini kerana tiada di KL ketika itu.

“Resipi 6 Sahabat”, menghimpunkan 35 resipi air tangan 7 individu, iaitu Norhayati Berahim, Khamisah Md Nazri, Hartini Anuar, Zabidah A. Rahman, Anita Sharkawi, Kusyi Hirdan dan saya sendiri, diterbitkan oleh NB Kara, milik Norhayati. ‘6 sahabat’ Norhayati + Norhayati sendiri, maka 7 orang semuanya.

Antara paparan dalam buku ini...
Ya, ini buku resipi. Beberapa orang sahabat dan ahli keluarga ketawa apabila saya beritahu, saya ‘buat’ buku resipi. Bukan mereka saja, saya sendiri pun ketawa! Sebabnya saya bukan orang yang rajin masak. Selama 11 tahun saya duduk di asrama dan makan nasi kawah (7 tahun sekolah + 4 tahun universiti). Ketika bekerja makan gaji dulu, masak sekali-sekala. Dua tahun kebelakangan ini, apabila berhijrah kerja di rumah, barulah rajin sedikit. Kalau dahulu hari raya hidang ‘kuih tunjuk’ pada tetamu, sekarang bolehlah bangga sikit dengan biskut dan kek dibakar sendiri.

Idea buku resipi ini terhasil spontan barangkali. Mula dengan tweet-tweet saja. Setiap seorang sediakan 5 resipi yang boleh dikategorikan mudah. Langkah demi langkah dipaparkan. Perlu ambil gambar satu demi satu langkah penyediaan. Kecoh dan tunggang-langgang dapur dibuatnya! Pagi-pagi lagi Kak Kusyi dan suaminya, Abang Zul sampai di rumah saya. Rasa macam main pondok-pondok. Tambah meriah apabila selesai semuanya, Kham dan Tini pula tiba. Masak, ambil gambar langkah demi langkah, termasuk makan-makan sambil sembang-sembang, kami ambil masa mulai pukul 9 pagi sehingga 7 malam. Efisien!

Setiap resipi ini ada nilai sentimentalnya pada kami. Bagi saya, peribadi, ini bukan sekadar buku resipi. Ini juga tanda persahabatan. Kak Kusyi dan Abang Zul, saya kenali ketika saya masih wartawan. Kak Yati, saya kenal waktu sama-sama berkarya di CESB. Kham, Anita, Tini dan ibunya Mak Cik Zabidah, saya kenal belum setahun, tetapi kami sudah akrab dan saya ada kenangan manis tersendiri dengan setiap mereka.

Ok, cukup! Selamat memasak dan mencuba resipi. Harga hanya RM15.90, dan bersekali dengan buku ini, pembeli mendapat cenderamata buku nota buat mencatat resipi hadiah daripada NB Kara!

Inilah 7 sahabat!

3 comments:

Unknown said...

wah, Kak Ina!

tengok resipi sudah terliur!

Salina Ibrahim said...

Mari belajar memasak jom! :)

Tetamu Istimewa said...

Tahniah kak, satu lagi bidang yang diceburi.