Wednesday, April 25, 2012

Perkongsian Pengalaman Kerjaya...

SAYA di Universiti Kebangsaan Malaysia menjayakan Bengkel Profesionalisme & Etiket Sosial anjuran Pelajar Tahun 3, Program Persuratan Melayu. Berkongsi pengalaman dan kisah mengenai dunia kerjaya, kadangkala buat saya rasa diri ‘ketinggalan’. Ya, entah mengapa, saya pun tak tahu. Mungkin selepas rasmi meninggalkan dunia kerjaya (makan gaji) pada tahun 2010 dan bekerja sendiri dengan menguruskan segala-galanya sendiri, saya terasa seperti ada skil yang sudah mula tumpul.

Ada pengalaman yang saya tak boleh lupa dalam bengkel kali ini sebenarnya. ‘Pengalaman ngeri’ campur ‘paling mendebarkan’. Berbelas tahun ke UKM tanpa sesat, tetapi pagi itu, kerana penangan ubat dos tinggi yang saya ambil malamnya (saya demam kuat selepas kembali dari umrah dan diberikan ubat dos paling tinggi oleh doktor selama enam hari). Saya sudah sampai di Bandar Baru Bangi, hujan renyai, sejuk dingin dan berpusing-pusing mencari jalan ke UKM tapi entah saya ‘lalok’, tak ketemu jalan! Saya tahu penganjur risau, saya lagilah risau, tapi alhamdulillah, akhirnya saya terjumpa jalan keluar.

Dalam bengkel yang disertai 90 orang pelajar tahun tiga daripada Program Persuratan Melayu, Bahasa & Kebudayaan, yang bakal menjalani latihan industri beberapa bulan lagi, saya berkongsi beberapa pengalaman. Fokus utama adalah Etiket Sosial tetapi saya juga dipesan oleh pensyarah mereka supaya masukkan beberapa cerita pengalaman saya sebagai panel penemuduga sepanjang saya bekerjaya dahulu.

Bagi orang yang pertama kali mahu melangkah ke dunia kerjaya, siapa yang dapat nafikan kebimbangan mereka. Hendak hadapi temuduga pun kadangkala macam ada rama-rama dalam perut. Saya pernah hadapi detik-detik begini dahulu. Saya juga pernah menjadi panel penemuduga dan berdepan dengan calon pekerja yang macam-macam ragam, termasuk yang berjanji bulan bintang dengan bakal majikan.

Tempoh temuduga 30 minit itu memang tidak memadai untuk menilai seseorang. Untunglah orang yang pandai bercakap dan pandai melobi diri sendiri, kadangkala penemuduga pun boleh ‘tertawan’ dengan ‘kebijaksanaan’nya. Tetapi selalunya orang yang pandai berhelah ini tidak kekal lama mana pun, sekejap saja tembelangnya pecah. Pun begitu, dalam apa jua situasi, kita kena terima juga konsep rezeki itu di tangan Allah.

Buat pelajar yang saya temui tempoh hari, semoga selamat menjalani latihan industri dan semoga semua mereka beroleh kerjaya yang sesuai dengan citarasa. Semoga perkongsian saya dapat membantu meredakan debaran hati mereka untuk melangkah ke alam kerjaya.

Penganjur bengkel, pelajar Program Persuratan Melayu, persediaan mereka 
untuk bengkel ini seperti orang buat kerja kahwin. Syabas! 

2 comments:

Admin said...

Akak,
meh datang IPGKTAA, pasti tak sesat.
hehehe (:

Salina Ibrahim said...

IPGKTAA tu boleh tahan jauhnya, terasa macam balik kampung. Berchenta nak ke sana.... :( mujur pemandangannya dapat menyejukkan mata...