MAC saya agak sibuk. Berkejar ke sana sini. Awal bulan ' aktiviti bersuka ria' bersama kawan-kawan di Universal Studios Singapura. Kemudian cuti sekolah bermula dan saya bertugas di Minggu Penulis Remaja 2012 di Port Dickson selama enam hari. Selesai di Port Dickson, saya luangkan setengah hari minggu mengikuti kursus umrah di Sungai Buloh, sebelum memandu 300km balik kampung tengah hari itu juga.
Dapat peluang balik kampung kerana saya diundang oleh sahabat lama, Cikgu Foziah Hazari untuk menyampaikan ceramah buat 500++ pelajar tingkatan lima di SMJK Jit Sin, Bukit Mertajam. Ramai pelajar tingkatan lima di sekolah ini. Keseluruhan pelajar 3000 orang. Saya sudah biasa dengar nama sekolah ini, cuma belum pernah jejakkan kaki ke sana. Nasib baik salah seorang abang bekerja di Bukit Mertajam dan dengan rela dia lakarkan peta untuk saya. Itupun masih tidak terjumpa sekolah kerana rupa-rupanya sekolah ini terletak di dalam kawasan taman perumahan dan dekat benar dengan rumah orang. Terima kasih Gee kerana datang 'menjemput' saya di tengah jalan sebelum tersesat-barat lebih jauh di pekan BM. Seronok saya dapat berkongsi pengalaman dunia penulisan dengan para pelajar SMJK Jit Sin yang majoritinya pelajar Cina. Menulis ini bukan setakat untuk lulus peperiksaan sahaja tetapi boleh jadi kerjaya juga. Mungkin itu yang tidak ramai para pelajar tahu. Saya harap dapat buka minda para pelajar mengenai masa depan kerjaya dalam bidang penulisan.
Selesai di Bukit Mertajam, saya bergegas kembali ke Kuala Lumpur. Esoknya memandu lagi ke Ayer Keroh, Melaka untuk ceramah dan bengkel Perkampungan Penulis Muda Sekolah Menengah Wilayah Persekutuan. Program anjuran DBP Wilayah Tengah dan JPN Wilayah Persekutuan ini menghimpunkan wakil pelajar dari sekolah sekitar Wilayah Persekutuan. Saya nampak kesungguhan DBPWT dan JPNWP untuk mencungkil bakat para pelajar. Memang seronok berkongsi pengalaman dengan remaja-remaja sekolah yang aktif, riang ria dan banyak bercakap ini. Masa depan mereka dalam bidang penulisan... ya, saya nampak mereka ada potensi dan berminat tetapi selebihnya usaha mereka yang lebih penting.
Penghujung Mac, waktu untuk saya 'berehat sebentar' sebelum kembali bekerja (menulis dan berbengkel) pertengahan April nanti. Semoga segalanya dipermudahkan Allah.
7 comments:
Wa, sibuk ya kak!
Em, ada buah tangan terbaru untuk Pesta Buku PWTC nanti?
Tidak sempat siapkan novel untuk Pesta Buku tahun ini. Tapi kemungkinan ada genre buku lain yang diusahakan dengan kawan-kawan, genre yang memang sangat lain! :))
Kak Ina, kursus umrah di Sungai Buloh? Di kawasan mana?
Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.
Sungguh dekat dengan kawasan kampung saya. dalam 20km
Saya nak tanya Cik Salina, memang majalah NUR dah tak ada ruangan cerpen ya.
Saya kurang pasti Sdr. MK Riza. Mungkin ya. Sudah lama juga tak membelek-belek majalah berkenaan selepas saya tinggalkan syarikat.
Post a Comment