Sunday, January 16, 2011

KiniDiTangan

ANTARA September / Oktober 2009 lalu, saya diminta oleh sahabat supaya menghantar proposal novel bersiri ke akhbarnya. Pesanannya pada saya, “Kata bos saya, dia mahu novel ala ‘Ayat-ayat Cinta’.”

Tergelak saya. Saya sudah baca AAC sejak 2006 tetapi saya tidak mahu menulis seperti novel itu. Lalu saya kata pada sahabat saya lebih kurang, “Saya memang sedang rancang tulis sesuatu. Tapi saya menulis dengan cara sayalah!”

Saya siapkan proposal lalu e-mel padanya. Dapat atau tidak, itu soal rezeki, sebab saya tahu ada beberapa penulis lain juga diminta mengirimkan proposal. Beberapa minggu kemudian, sahabat saya ini menelefon dan memberitahu ketua pengarangnya memilih proposal saya. “Alhamdulillah!”

Bertambah satu lagi beban. Tulis novel bersiri. Kerja ‘cari penyakit’ - gurauan biasa dalam kalangan rakan penulis saya yang suka cari beban dengan menyanggupi tugas menulis novel bersiri! Tetapi saya yakinkan diri sendiri, ini tidak seteruk tulis novel bersiri ‘Bukan Yang Pertama’ di Utusan Malaysia sepanjang 2007 lalu. Novel ini sekali seminggu, tidak seperti BYP; tiga kali seminggu.

Teruk tak teruk, sebenarnya memang teruk juga! Ketika memulakan projek ini, saya baru diamanahkan mandat sebagai editor pengurusan yang mengawal selia empat majalah di syarikat tempat saya bertugas. Tetapi saya banyak belajar daripada pengalaman dulu, buat saya makin cerdik menguruskan masa dan kerja penulisan kreatif. Dan stresnya berkurangan apabila saya letak jawatan mulai Januari 2010 untuk menjadi penulis sepenuh masa.

Novel ini mengenai apa? Seorang teman yang baca 1-2 bab awal di akhbar bertanya saya, “Akak tulis pasal ‘orang tu’ ya? Waktu baca ni, dalam kepala saya terus terbayang muka ‘orang tu’!” Dia sebut dengan jelas nama orang yang dimaksudkannya. “Tak!” saya balas. “…kisah ni boleh berlaku pada semua orang.”

Saya sudah lama ingin tulis mengenai kisah beberapa individu yang pernah saya kenali dan akrabi sepanjang kerjaya saya sebagai pengamal media. Sebahagiannya saya kenali semasa aktif sebagai ‘sukarelawan’ dalam program motivasi anjuran sebuah pusat latihan bina insan. Saya tidak rujuk pada seorang saja, boleh jadi ada kisah ramai orang dalam cerita ini.

‘Tiada Khatimah Cinta’ yang buat saya rasa ‘kerja menulis adalah tanggungjawab yang tiada khatimahnya’, kini ada di tangan. Selepas 40 minggu disiarkan di Harian Metro (11/2009 – 7/2010), saya ulang baca berkali-kali, cantas-tambah-buang apa yang patut, lalu hantar pada penerbit.

Inilah hasilnya. Terima kasih pada pembaca yang ikuti karya ini di Harian Metro dan selalu bertanya saya bila siri ini akan dibukukan. Terima kasih kerana ‘beri’ kekuatan pada saya. Kepada yang suka karya ini, terima kasih. Kepada yang tidak suka, pun terima kasih juga saya ucapkan (saya tidak mampu penuhi selera semua orang.)

3 comments:

Kamariah Kamarudin said...

Kak Ina
Tahniah; wah terus prolifik. Saya sudah arahkan para pelajar saya meneliti karya ini dalam kuliah "Novel Melayu". dan insya allah, sebagaimana perbincangan awal di PD tempohari, acara di kampus saya akan diadakan pada 19 Mac 2011, juga saya sudah mengarahkan para pelajar saya menghubungi Kak Ina. Nantikan ia.

Salina Ibrahim said...

Terima kasih Dr. Kamariah. Mudah-mudahan program yang dirancang sukses. Insya-Allah, Kak Ina sokong apa yang baik.

hasni hanna said...

Mahu beli daripada tangan penulisnya. :)