Tuesday, January 11, 2011

BagaimanaSayaMenulis



SAYA selalu rasa kagum apabila membaca karya pengarang lain, terutamanya apabila karya itu bercerita mengenai sesuatu yang tidak saya ketahui dan sesuatu yang ‘jauh’ dari dunia saya.

Saya juga kagum pada karya-karya yang menggunakan teknik dan olahan yang lain daripada yang lain. Kadangkala idea yang hendak dilontarkan pengarang hanya sesuatu yang biasa-biasa sahaja. Tetapi karya itu jadi luar biasa berdasarkan olahan, teknik dan pengamatan seseorang pengarang. Demikianlah kreatifnya seorang pengarang.

Saya sedang menelaah buku ‘Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen’. 17 orang pengarang (salah seorangnya saya) dengan cerpen pilihan masing-masing bercerita mengenai proses kreatif mereka menghasilkan karya berkenaan. (Saya tidak kagum dengan proses kreatif karya saya sendiri (kerana saya yang menulis dan mengarangnya) tetapi saya terpesona dengan cara gaya 16 orang pengarang lain yang punya cara tersendiri mengolah idea mereka.)

Saya tergelak-gelak ketika membaca catatan Saharil Hasrin Sanin yang selamba, kagum akan ketelitian Mawar Shafei, teruja dengan kepintaran S.M Zakir ‘menyulap’ teman-temannya keluar masuk ke dalam cerpen, terusik dengan sikap pemerhati Muhd Nasruddin Dasuki dan asyik menghayati kisah budaya setempat Rahimidin Zahari. Catatan teman pengarang yang lain juga sama-sama mengajak saya berfikir betapa pengarang ini sebenarnya boleh jadi apa yang mereka mahu melalui kreativiti masing-masing.

Saya rasa buku ini patut jadi ‘kitab rujukan’ kepada calon pengarang atau pengarang baharu yang ingin menulis cerpen. Belajar daripada karya dan pengalaman orang lain juga suatu proses untuk memperbaiki karya sendiri.

Bagaimana Saya Menulis: Proses Penciptaan Cerpen
Penyelenggara: Mawar Shafei & Nisah Haji Haron
Terbitan: Dewan Bahasa & Pustaka (2011)
Tebal: 350 halaman
Harga: RM25.00

1. Aminah Mokhtar (Ya Allah Dia Menangis / Proses Kreatif Ya Allah Dia Menangis)
2. Faisal Tehrani (Perlak Emak / Perlak Emak: Sebuah Kisah Kreativiti Taman Melayu)
3. Jais Sahok (Jiji – Moga-moga Kau Mendengar / Proses Kreatif Penghasilan Jiji Moga-moga Kau Mendengar)
4. Kamariah Kamaruddin (Tentang Hijab / Bagaimana Hijab Terhasil)
5. Maskiah Masrom (Nyanyi Sunyi / Proses Kreatif Cerpen Nyanyi Sunyi)
6. Mawar Shafei (Dia Dari Penjuru Tahun Lalu / Proses Kreatif Dia Dari Penjuru Tahun Lalu)
7. Mohd Nazmi Yaakub (Selirat Derita Pun Terurai /Proses Kreatif Selirat Derita Pun Terurai)
8. Muhd Nasruddin Dasuki (Kelekatu Sayap Ungu /Proses Kreatif Kelekatu Sayap Ungu)
9. Nisah Haji Haron (Pusaka Cendana / Ilham Dan Cetusan Menulis Pusaka Cendana)
10. Rahimidin Zahari (Pak Da Megat Wan Setapa Mek Mah Tuk Bagih / Proses Kreatif Pak Da Megat Wan Setapa Mek Nah Tuk Bagih)
11. S.M Zakir (Cerita Untuk Teman-teman / Menulis Adalah Permainan Silap Mata)
12. Saharil Hasrin Sanin (Air Mata Orang Kaya / Penulis Adalah Penipu: Proses Penciptaan Cerpen Air Mata Orang Kaya)
13. Salina Ibrahim (Imam / Imam Suatu Terapi Diri)
14. Shamsiah Mohd Nor (Lazuardi / Proses Kreatif Lazuardi: Kolaborasi Catatan Tiga Pengalaman)
15. Siti Jasmina Ibrahim (Kelir / Bagaimana Saya Menulis (Proses) Cerpen Kelir)
16. Siti Raihani Mohd Saaid (Seniman Rajemee / Proses Kreatif Seniman Rajemee)
17. Zaid Akhtar (Pendedahan / Pendedahan Antara Intertekstual Dengan Isu Semasa (Menyorot Satu Lagi Sisi Hang Tuah)

Boleh dapatkan buku ini di Koperasi DBP atau beli di Ujana Ilmu

0 comments: