Wednesday, April 28, 2010

DISKUSIAtasNamaKasih2005





ATAS NAMA KASIH: ‘BERSAHAJA & MESRA PEMBACA’
Diskusi Novel Penulis Angkatan 90-an
anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia (UPM)
23 Julai 2005 (9.30 – 12.00 tengah hari)

Oleh
DR. ROS ZAKARIA
Penolong Pengarah
Jabatan Pendidikan Khas Kementerian Pelajaran Malaysia



Novel ‘Atas Nama Kasih’ adalah sebuah novel kontemporari yang mengisahkan kejiwaan seorang wanita yang belum berkahwin. Pengkisahan kejiwaan ini berorientasikan cinta dan kasih sayang. Dalam masa yang sama, pengarang Salina Ibrahim turut mengisahkan naluri kasih sayang wanita yang telah berkahwin. Begitu juga dengan naluri kasih sayang kanak-kanak perempuan dan kasih sayang seorang nenek kepada cucu perempuannya. Pendek kata daripada paksi kasih sayang dan kecintaan ini, pengarang cuba menzahirkan persamaan naluri kasih sayang iaitu bagaimana seorang wanita menerima dan memberi cinta dan kasih sayang, perspektif kasih sayang dan cinta di mata mereka dan erti pengorbanan bagi menyatakan cinta dan kasih sayang.

Walaupun temanya agak biasa iaitu cinta dan kasih sayang seorang wanita dengan perkembangan plot yang ringkas dan senang difahami serta diikuti, namun Salina Ibrahim berjaya menonjolkan pelbagai persoalan berteraskan cinta dan kasih sayang seorang wanita. Mesej yang ditonjolkan amat mudah. Seorang wanita masih boleh menyayangi dan mengasihi tanpa seorang lelaki dan wanita akan menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya apabila dia meyakini bahawa lelaki itu mampu menyayangi dan mengasihi apa sahaja yang dikasihi dan disayanginya. Dalam erti kata lain, keperluan seorang lelaki dalam hidup seorang wanita bukanlah mutlak sekiranya lelaki berkenaan gagal memenuhi hasrat atau naluri kewanitaannya.

Dalam novel ini, pengarang memfokuskan kehidupan seorang wanita iaitu Suria yang masih muda dan dilingkungi dengan beberapa orang wanita yang lain, berkisar kepada kasih sayang dan cinta. Suria sanggup menjaga anak saudaranya (anak kepada abangnya) iaitu Nur Kasih setelah kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu, iaitu abangnya, Syauqi dan kakak iparnya, Eleena, meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Walaupun pada asalnya emak saudaranya yang menjaga Nur Kasih, namun pada suatu ketika seolah-olah Nur Kasih tidak lagi serasi dengannya mengakibatkan Suria mengambil keputusan untuk menjaganya dengan sepenuh hati. Pengarang tidak memperlihatkan sebab-sebab yang lebih jelas mengapa Suria begitu tinggi sekali hasratnya untuk menjaga Nur Kasih, melainkan dua sebab sahaja, iaitu atas rasa kasih sayangnya kepada abangnya, Syauqi, dan kerana Nur Kasih tidak lagi serasi dengan emak saudaranya.

Bagi menzahirkan naluri kasih sayang ini, pengarang telah menunjukkan bahawa Suria sanggup melepaskan jawatannya sebagai seorang wartawan, kerana menyedari bahawa pekerjaan itu akan membuatnya tidak dapat menguruskan Nur Kasih. Sebagai gantinya, Suria melakukan beberapa pekerjaan untuk menampung perbelanjaannya dan Nur Kasih, iaitu mengajar di salah sebuah kolej swasta dan menjadi seorang penterjemah. Bagi menguatkan lagi persoalan yang diutarakannya bahawa fitrah seorang ibu sudah ada pada seorang wanita sejak azali lagi, pengarang menunjukkan bagaimana Suria sanggup tidak mahu mengahwini mana-mana lelaki yang gagal menyayangi Nur Kasih seperti dia menyayanginya. Ini terbukti apabila Suria sanggup memutuskan hubungannya dengan seorang lelaki yang pada pandangannya tidak menyukai Nur Kasih. Begitu juga di awal pertemuannya dengan Iskandar Hakim. Walaupun dia telah ada hubungan dengan Iskandar semasa belajar dulu, namun mereka telah berpisah apabila Suria mendapati ada gadis lain iaitu Amalina yang amat menyintai Iskandar. Ini mengakibatkan Suria mengambil keputusan tidak mahu meneruskan hubungan tersebut. Peristiwa ini sengaja ditonjolkan oleh pengarang untuk menunjukkan bahawa wanita yang benar-benar mempertahankan maruahnya tidak akan bergaduh hanya kerana seorang lelaki.

Setelah dia meyakini Iskandar adalah orang yang benar-benar menyayangi Nur Kasih dan amat mengambil berat berkenaan Nur Kasih, barulah hatinya terbuka untuk menerima Iskandar dalam hidupnya. Bagi menonjolkan bahawa Suria bukanlah bersifat ‘anti lelaki’, ditampilkan pula watak kawan baik Suria yang agak keras dalam hal ini, iaitu Azian. Perspektif Azian ditonjolkan dengan jelas:


“Tak berkahwin tak semestinya hidup kesepian. Berkahwin pula tak bermakna akan hidup bahagia. Hidup manusia di alam realiti, tidak seperti dalam novel atau filem yang kita tonton di tv. Sampai muka surat akhir atau hujung cerita, kita tahu kesudahannya ‘happy ending’ atau ‘sad ending’. Tapi dalam realiti, selepas muka surat akhir dan hujung cerita itu, masih ada kehidupan lagi. Kehidupan di dunia akan selesai selepas kita mati, itupun belum selesai sebenarnya. Hidup di akhirat entah bagaimana pula...”
(Atas Nama Kasih: 274)


Bagi mengukuhkan lagi pendapat itu, Salina Ibrahim menambah bahawa:

“Pandangan Azian mungkin akan dianggap sesetengah pihak sebagai pendapat ekstrem wanita moden hari ini. Suatu aliran perubahan yang membuatkan banyak pihak risau, menganggap pemikiran begini agak keterlaluan, terlalu kehadapan. Nilai baru apabila wanita Melayu kini enggan berkahwin dan mahu terus membujang atau memilih untuk berkahwin lewat. Tetapi dia kira pandangan Azian itu tidak salah. Dia sendiri pun pernah berfikiran begitu, cuma mungkin dia kurang berani untuk mengakuinya secara terang-terangan.”
(Atas Nama Kasih: 274-275)

Bagi mengukuhkan lagi kasih sayang wanita terhadap Nur Kasih, ditampilkan watak Datin Nik yang berhasrat mengambil hak penjagaan kanak-kanak ini daripada Suria. Datin Nik berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas Nur Kasih sehingga sanggup mengheret Suria ke mahkamah. Bagi membolehkannya memenangi kes tersebut, dia telah sanggup menjatuhkan maruah Suria dan Iskandar dengan menghantar empat orang penguat kuasa dari Jabatan Agama Islam Wilayah untuk menangkap mereka dengan tuduhan berdua-duaan ketika Iskandar di rumah Suria. Sedangkan pada masa berkenaan, Azian turut bersama mereka di dalam rumah tersebut. Namun naluri kewanitaannya tidak sanggup untuk terus menyeksa Suria dan Nur Kasih, mengakibatkan Datin Nik menggugurkan kes ini. Tambahan pula dia telah mengidap penyakit strok dan terlantar di hospital. Selain itu, pengarang sengaja menampilkan watak Farid, anak tunggal Datin Nik yang berperanan sebagai pengimbang kepada Datin Nik. Ini adalah disebabkan Farid tidak bersetuju dengan tindakan ibunya mengheret Suria ke mahkamah, namun dalam masa yang sama, Farid mengetahui bahawa ibunya tidak sejahat itu. Dengan penjelasan Farid ini, akhirnya Suria boleh menerima kenyataan dan sanggup berkongsi kasih dengan Datin Nik. Melalui peristiwa ini, pengarang ingin menonjolkan lagi dua perkara utama: pertama, Suria akan benar-benar mempertahankan apa yang dikasihinya iaitu Nur Kasih ibarat seorang ibu yang sanggup mempertahankan anaknya. Kedua, pengarang ingin menonjolkan jiwa wanita yang mudah diajak berunding dan mudah menerima teguran. Inilah citra seorang wanita yang lembut, tinggi kemanusiaannya dan amat sensitif serta penyayang terutama terhadap kanak-kanak atau darah dagingnya sendiri.

Citra wanita penyayang diserlahkan dengan menampilkan watak Cikgu Anisah yang begitu lembut dan berbudi bahasa yang telah berjaya ‘mengalahkan’ Suria. Peristiwa yang menonjolkan citra ini adalah ketika Suria bercakap kasar dan menuduh Cikgu Anisah tidak layak menjadi pengasuh di taman asuhan kanak-kanak setelah Nur Kasih dibawa oleh Datin Nik tanpa kebenaran dan pengetahuan Cikgu Anisah. Cikgu Anisah yang begitu lemah-lembut dikaitkan pula mempunyai hubungan dengan Suria dan Nur Kasih kerana dia merupakan madu kepada Datin Nik. Hubungan ini sengaja digabungjalinkan oleh pengarang untuk menguatkan lagi tema novel ini yang berotrientasikan kasih sayang dan jiwa wanita yang sebenarnya. Demi Nur Kasih dan anak-anak mereka, Datin Nik dan Cikgu Anisah sanggup sama-sama memendam rasa nun jauh di sudut hati mereka yang merasai kepahitan yang amat menekan jiwa sebagai madu antara satu sama lain. Namun mereka mengabaikan perasaan itu dan menghadapi kenyataan. Dalam erti kata lain, bagi wanita yang telah berkahwin pun, apabila memperolehi anak, mereka akan lebih memberi perhatian dan kasih sayang kepada anak-anak mereka berbanding perhatian kepada suami. Atas dasar sifat inilah, novel ini berakhir dengan ‘happy ending’ tanpa meninggalkan sebarang persoalan atau keluh kesah pembaca.

Kesimpulannya, novel ini lebih bersifat ‘mesra pembaca’ dalam erti kata pembaca lebih senang membaca dan mengikuti perkembangan cerita serta konflik ringan yangt ditampilkan. Pengarang memberi cara menyelesaikan sesuatu konflik kehidupan dengan begitu mudah dan menarik. Berdasarkan kepada Teori Takmilah, plot yang sebegini menepati ciri-ciri Takmilah iaitu ‘happy ending’ dan mengikut langkah-langkah yang hanya dibenarkan dalam Islam. Takmilah amat menekankan tujuan kepengarangan seseorang iaitu ‘kerana Allah’. Justeru segala intipati novel harus menjurus kepada kaedah penyelesaian menuju Allah S.W.T. Dalam erti kata lain seseorang pengarang perlu berusaha memberi alternatif yang perlu diambil, namun segala alternatif ini tidak terkeluar daripada landasan menuju keredaan Allah S.W.T.

Penggunaan gaya bahasa juga bersifat lebih bersahaja dan pemilihan diksi yang biasa kita jumpa. Dalam masa yang sama, Salina Ibrahim ingin menerapkan nilai murni yang paling utama iaitu meyayangi anak yatim (Nur Kasih). Beliau menggambarkan bahawa dengan kasih sayang yang cukup, anak-anak akan mendapat didikan yang sempurna. Nur kasih telah digambarkan sebagai seorang kanak-kanak yang ‘happy’, petah bercakap berbudi bahasa, serta pandai menjalin hubungan dengan orang lain seperti Azian dan Iskandar. Pengarang menggambarkan kanak-kanak yang mendapat belaian kasih sayang yang cukup akan menjadi seorang kanak-kanak yang penyayang dan periang serta akan mudah menyayangi orang lain jika orang lain turut menunjukkan kasih sayang terhadapnya. Perwatakan Iskandar digambarkan sebagai seorang yang memahami jiwa kanak-kanak seperti mendukungnya dengan mesra, sanggup melayan kerenahnya dengan bercakap penuh kelembutan dan tidak sekali-kali digambarkan dia memarahi Nur Kasih, mengakibatkan Nur Kasih begitu cepat mesra dengannya, sentiasa bertanyakannya dan mahu Iskandar sentiasa bersamanya. Inilah realiti jiwa seorang kanak-kanak. Sesuatu yang amat diperlukan oleh mereka adalah belaian kasih sayang dan layanan yang penuh kemesraan.

Selain Nur Kasih, Farid juga digambarkan sebagai seorang anak muda yang amat menghormati ibunya iaitu Datin Nik dan simbol seorang anak muda yang mendapat kasih sayang yang cukup. Digambarkan Datin Nik sendiri dapat merasakan walaupun Farid selalu meninggalkannya untuk mengikuti aktivitinya dengan kawan-kawannya tetapi Farid tidak pernah membantah atau mengecilkan hati ibunya. Bahkan Farid digambarkan amat memahami hati ibunya, yang menggambarkan betapa eratnya perhubungan antara mereka berdua. Ketika ibunya terlantar di hospital, Farid berkali-kali menelefon dan berbincang dengan Suria agar dapat memaafkan ibunya serta memaklumkan kepada Suria bahawa ibunya tidak bermaksud untuk bermusuh dengan Suria. Hasil tindakan Farid inilah mengakibatkan Suria begitu yakin bahawa Datin Nik sekadar ingin menumpang kasih dan mencurahkan kasih kepada cucunya, tidak lebih daripada itu. Impak yang hendak ditonjolkan oleh pengarang adalah: seorang anak yang mendapat kasih sayang yang cukup akan sanggup melakukan pengorbanan kepada ibunya dan akan mempertahankan ibunya serta menolong ibunya di saat ibunya mengalami kesusahan, bahkan tidak sekali-kali menjatuhkan maruah ibunya. Perwatakan sebegini menambahkan lagi sifat novel ini sebagai ‘mesra pembaca’ kerana pembaca tidak dikeluhkesahkan dengan perwatakan yang tidak sepatutnya atau terlalu berkonflik sehingga mengganggu emosi pembaca atau menelurkan sifat benci dan marah pembaca, atau sifat memberontak, sebaliknya pembaca didorong dengan unsur didaktik secara tidak langsung bersifat halus berkesan.

Novel ini berjaya menzahirkan unsur-unsur ‘suspens’ yang menghidupkan lagi plot ceritanya. Antara insiden yang berjaya diungkapkan oleh pengarang sehingga menimbulkan persoalan kepada pembaca adalah kemunculan Datin Nik secara tiba-tiba dan pemberian anak patung Sin Chan kepada Nur Kasih. Pembaca tertanya-tanya apakah kaitan Datin Nik dengan Nur Kasih? Peristiwa seterusnya ialah hubungan Iskandar dengan Suria, menggamit kebimbangan pembaca adakah mereka akan bersama dan berkahwin atau hubungan ini tidak kesampaian memandangkan Suria sendiri digambarkan tidak memerlukan seorang lelaki dalam hidupnya jika lelaki berkenaan tidak menyayangi Nur Kasih seperti dia menyayangi anak itu. Persoalan ini mengundang lagi persoalan seterusnya, iaitu adakah Iskandar akan menyayangi Nur Kasih dan adakah Nur Kasih akan menyukai Iskandar? Jalinan persoalan ini cukup menarik dan ‘simple’ diungkapkan oleh pengarang mengakibatkan pembaca terus berminat membaca novel ini sehingga tamat. Ada beberapa lagi peristiwa lain yang mengundang unsur ‘suspens’ ini yang meyakinkan saya bahawa pengarang sengaja menjadikan novelnya ini lebih bersifat ringan dan bersahaja tetapi mampu bertindak sebagai penunjuk jalan kepada khalayak jika khalayak mengalami permasalahan yang sama dan jalan penyelesaiannya amat menarik dan menepati ajaran Islam sendiri atau sebarang pegangan lain. Hal ini demikian kerana tiada sebarang kepercayan di dunia ini yang mengajak kepada kehancuran atau tanpa penyelesaian di dalam setiap konflik kehidupan yang dialami.

Saya mengharapkan agar Salina Ibrahim meneruskan imej kepengarangan yang ‘mesra pembaca’ ini dan berperanan sebagai penyelesai masalah kepada khalayak dengan memberi jalan penyelesaian yang harmoni dan Islamik. Ciri-ciri ini wajar dikekalkan kerana impak utamanya membolehkan semua kategori khalayak membaca novelnya seperti golongan wanita, lelaki, golongan berkerjaya atau tidak, golongan intelektual, golongan mahasiswa, kanak-kanak atau orang dewasa malah golongan tua. Dalam sifat kepengarangan yang bersahaja dan ‘ringan’ itu, beliau tetap berjaya mengundang hasrat pembaca yang tinggi untuk meneruskan pembacaan sehingga selesai. Dan yang lebih utama selepas pembacaan itu tamat, pembaca merasa terhibur dan tahu menyelesaikan masalah dengan jalan yang betul dan tepat serta diredai Allah S.W.T.

Nota:
*Atas Nama Kasih; novel yang 'sudah berkurun' diterbitkan. Tak pastilah ada lagi atau tak saki-baki buku ini di kedai.

*Kerja ini Dr. Ros Zakaria ini tidak pernah disiarkan di mana-mana penerbitan. Baru terjumpa dalam fail lama dan sengaja hendak dikongsi di sini.

1 comments:

baizura said...

nur kasih 2005 kan, tahniah kak sal 4 tahun mendahului zaman!! sebelum nur kasih - adam meletup di tv..hehe