Monday, January 04, 2010

TuhanKitaTuhanMereka


(1)
SAYA dalam program diskusi buku. Seorang lelaki bukan Melayu mendekati saya, kami berkenalan (walaupun saya kenal dia tetapi sebenarnya belum pernah mengenalinya dengan rapat).

Kami berbual mengenai industri buku, seputar dunia penerbitan, juga berborak mengenai keberanian beberapa pihak termasuk penulis yang memberanikan diri menjadi self-publisher.

Sebelum beredar, teman baru saya ini mempelawa saya mengirimkan naskhah ke sebuah syarikat penerbitan. Dia sendiri salah seorang yang menyumbang usaha untuk mendapatkan naskah bagi diterbitkan oleh syarikat berkenaan.

“Cubalah ke sini. Syarikat itu ada potensi. Syarikat ‘orang kita’ juga! Kita kena tolong ‘orang kita’,” katanya sedikit bersungguh-sungguh.

Dia beredar. Saya tinggal sendirian. Benak saya dipenuhi kata-katanya yang akhir itu – ‘orang kita’.

Ada soalan meluru masuk ke benak saya, “Apa yang dia maksudkan dengan ‘orang kita’? Saya dengan dia sama ke?”

(2)
SAYA dan teman hadiri suatu majlis. Ada beberapa aktiviti dalam majlis itu, termasuk deklamasi puisi. Beberapa orang pendeklamator diundang; kebanyakan anak muda, mewakili pelbagai kaum. Pelbagai tema puisi mereka. Khabarnya kebanyakan karya itu hasil kreativiti mereka sendiri.

Seorang pendeklamator muda naik ke pentas. Bukan Melayu dan ketika diperkenalkan namanya, dia bukan Islam juga. Tiada masalah, saya kagum orang-orang muda bukan Melayu minat aktiviti seni begini. Dia memulakan mukadimahnya dengan berkata, puisi ini adalah puisi ketuhanan.

Dia pun mula berpuisi. Antaranya saya dapat tangkap beberapa kalimah puisinya, dia menyebut ‘Tuhan kita’. Saya dengar saja, dengar sampai habis, walaupun sedikit yang masuk dan banyak sekadar melintas tepi telinga saja.

Selesai dia berpuisi. Ketika dia melangkah turun, saya menoleh kepada teman di sebelah. Spontan terkeluar dari mulut,“Sama ke Tuhan kita dengan Tuhan dia?”

Teman saya angkat bahu, tersenyum blur. Saya pun angkat bahu, tersenyum juga.

2 comments:

Pija Madzlan said...

Tiada Tuhan melainkan ALLAH... maka mereka - jika merasa berTuhan, maka Tuhan mereka hanyalah ALLAH...cuma mereka salah bila mereka menyamakan Tuhan dengan makhluk :) itu menurut yang saya faham...

Teringin nak join Grand Gather baru ni..rindu Taayah!!!

Salina Ibrahim said...

Siti,
Meriah kami di GG baru-baru ni.