Tuesday, January 12, 2010

TipPanduanPetua


Serba sedikit panduan untuk pengarang baru yang ingin mengirimkan karya kepada editor media cetak. Kadangkala ‘letih’ melayan pengarang yang terlalu ‘blur’, sedangkan hal itu boleh fikir guna ‘common sense’ sahaja.

Apatah lagi jika karya dihantar menggunakan kaedah e-emel, segelintirnya langsung tiada tatacara sesuai; agaknya sebab terlalu ghairah atau gopoh, dia tekan saja butang ‘send’ tanpa fikir panjang. Memanglah manusia bernama pengarang ini kadangkala ‘tidak terurus’ tetapi ada perkara tertentu yang harus menjadi disiplin penting dalam diri.

Mudah-mudahan panduan ini bermanfaat!

1. Karya ditaip menggunakan font Times New Roman, saiz 12, selang dua baris. Nomborkan setiap helaian.

2. Sertakan surat lampiran kepada editor yang menyatakan bahawa saudara/i menyerahkan karya untuk dinilai dan dipertimbangkan penyiarannya dalam media berkenaan. Lebih molek dan sopan, jika pengarang tahu nama editor yang menangani media yang berkenaan.

3. Sertakan maklumat lengkap diri dalam surat; seperti nama penuh, nama samaran jika ada, alamat surat-menyurat, nombor telefon dan e-mel.

4. Bagi pengarang baru, mereka boleh menyertakan biodata ringkas mengenai pengalaman dalam penulisan. Bagi pengarang baru, ini boleh meyakinkan editor. Apatah lagi jika karya yang dikirimkan bagus dan pengarang itu nama baru; tidak mustahil akan menimbulkan keraguan di hati editor adakah memang benar karya itu ditulis oleh pengarang berkenaan. Oleh itu, biodata ringkas ini memadai untuk memperkenalkan diri/meyakinkan editor.

5. Jika kiriman melalui pos, sertakan salinan cakera padat (CD) yang memuatkan karya berkenaan. Editor biasanya tiada masa untuk menaip semula karya saudara/i, juga tiada jurutaip untuk berbuat demikian. Peringatan penting, pastikan CD bersih daripada virus!

6. Jika kirim melalui e-mel, boleh gunakan ‘attachment’ atau ‘copy/paste’ karya pada e-mel. Penggunaan ‘attachment’ kadangkala diragui kerana ada ketikanya tidak boleh dibaca (kerana berlainan format) atau mungkin dijangkiti virus.

7. Sebelum mengirimkan karya menggunakan e-mel, pastikan dahulu semua maklumat telah dilampirkan. Jangan terburu-buru menekan butang ‘send’. Ada pengarang yang terlalu gopoh sehingga terlupa semua ini, terus ‘attach’ karya di e-mel, tanpa menyertakan maklumat diri. Sehari dua selepas itu, agaknya dia baru teringat dan sekali lagi mengirimkan maklumat diri yang lengkap. Ini menunjukkan saudara/i pengarang yang gopoh.

8. Sebelum menghantar karya kepada mana-mana media, pastikan bahawa media itu memang mempunyai ruangan yang berkenaan. Contohnya, jangan hantar puisi jika saudara/i tahu majalah berkenaan tiada ruangan puisi. Itu buang masa namanya! Buat rujukan dahulu, beli majalah edisi terkini, cari di perpustakaan atau curi baca di kedai mamak sebelum saudara/i menghantar karya ke media berkenaan.

9. Ketika berkomunikasi dengan editor dalam surat atau e-mel, gunakan bahasa formal. Jangan gunakan bahasa SMS, bahasa rojak, bernada mengarah atau memerintah. Saudara/i adalah pengarang dan beradablah seperti seorang pengarang! Saudara/i harus ingat, antara pengarang dengan editor, editor ada kuasa yang lebih tinggi walaupun editor itu mungkin bukan pengarang besar seperti saudara/i. Jika pengarang tidak berkenan dengan cara editor, buat teguran dengan cara rasmi dan berhemah.

10. Satu karya mesti dihantar kepada satu media sahaja. Jangan hantar satu karya kepada banyak media (atau dengan kata lain, jangan menyepahkan satu karya saudara/i kepada banyak media.) Cara itu tidak beretika dan saudara/i boleh disenaraihitamkan.

11. Pastikan karya berkenaan tidak pernah tersiar di mana-mana media sebelum ini, termasuk laman internet atau blog peribadi sekalipun .

Nota: Mungkin ada antara tip ini tidak diamalkan atau berbeza antara media/rumah penerbitan.


(bersambung....)

4 comments:

Chempaka Aizim said...

Salam puan Salina,
Terima kasih di atas tips yang ringkas dan padat ini. Ia sangat membantu penulis muda untuk 'memikat hati' editor. =)

Syukri Sapuan said...

Terima kasih atas tips-tips berguna ini.
=)

Ida Ra said...

salam
terima kasih baru saya faham bagaimana untuk menghantar karya

Unknown said...

Assalamualaikum .. terima kasih atas panduannya tu pn salina .. Saya masih baru dan masih belajar untuk belajar . Ini semua benda baru, saya akan aplikasikannya .. terima kasih =D