Sunday, January 31, 2010

KisahMajalah


ANTARA kegemaran saya sejak remaja adalah mengumpul majalah. Dewan Siswa salah satu majalah yang saya kumpul sejak zaman sekolah, yang kemudian saya hantar ke kedai untuk dijilidkan dan sampai sekarang masih elok disimpan.

Apabila masuk universiti, dengan duit menulis yang saya dapat beberapa bulan sekali, saya kumpul majalah genre wanita pula, seperti Jelita dan Wanita. Empat tahun menginap di Kolej Pertama UM, Batcha (tuan punya kedai kecil di kolej) akan menyimpan senaskhah majalah Jelita (dan akhbar Mingguan serta Berita Minggu setiap Ahad) untuk saya.

Saya kekal dengan hobi ini beberapa tahun lamanya. Ketika bertugas di Kumpulan Utusan, ada seorang penjual majalah (kalau tak silap, Sayed namanya yang terkenal dengan perkataan favouritenya ‘Cinta’) akan datang ke pejabat membawa majalah-majalah terbaru terbitan syarikat pesaing. Dia macam sudah tahu hobi saya; dan pasti ada satu dua naskhah dia akan simpan untuk saya. Malah kalau tak cukup duit, boleh hutang, bayar apabila dia datang lain kali.

Maka beratus-ratus jugalah majalah simpanan saya. Dan terasalah betapa lecehnya apabila terpaksa berpindah rumah. Kali pertama pindah, majalah tidak banyak dan kebanyakannya saya sedekahkan untuk kawan-kawan serumah.

Pindah kali kedua, sungguh banyak majalah yang terpaksa saya angkut, sampai separuhnya terpaksa saya tinggalkan.

Dan kemudian pindah lagi, saya terpaksa berulang beberapa kali ke rumah lama untuk ambil majalah sahaja sebab emak saya menegah majalah itu dibawa sekali. Tetapi selepas pindah, saya teringat-ingat majalah lama itu dan berkejar ke sana untuk ambil segala yang saya tinggalkan.

Hobi ini semakin pudar apabila saya bertukar kerja ke Kumpulan Karangkraf. Mungkin sebab berada dalam lubuk majalah, keinginan untuk beli majalah mula berkurangan. Lagipun Pusat Sumbernya melanggan majalah setiap bulan untuk kegunaan staf. Maka saya pun jadi pelanggan tetap perpustakaan dan kalau lambat memulangkan, Abang Hamid yang saya usik sebagai ‘polis’ akan ‘kejar’ saya!

Beberapa hari ini, saya sibuk spring-clean dan mengemas majalah lama yang saya rasa tidak perlu lagi saya simpan dalam ‘soho’, sebelum Kenny pembeli surat khabar lama datang mengambil. Apabila melihat timbunan majalah itu, saya cuba agak-agak berapa RM sudah saya habiskan untuk membeli semua itu. Saya tak tergamak nak mengira!

Selepas ini, saya hendak tambah koleksi buku pula. Dan kena tambah rak buku!

4 comments:

hasni Jamali said...

Salam manis, Kak Salina. :)

Alhamdulillah, saya juga suka mengumpul seberapa majalah. Kalau dahulu, waktu remaja saya juga suka mengumpul majalah Dewan Siswa, sekarang saya lebih senang mengumpul Tunas Cipta dan pastinya majalah dara.com... Tahun lepas saya membeli Nur setiap bulan, tetapi akhir-akhir ini saya lebih gemar membaca dara.com yang banyak menyediakan info-info...saya hentikan sementara langganan Nur, hanya kadang-kala jika wang mencukupi saya akan membeli Nur... :)

Ya, bertambah koleksi buku juga, dan rak... :)

Iskandar Syah Ismail aka DR Bubbles said...

Hehe..saya tersenyum membaca entri KisahMajalah ini.

Ha, entri Salina memberi idea kepada saya untuk menjilidkan koleksi majalah Reader's Digest yang saya kumpul sejak zaman sekolah lagi.

Saya baru sahaja memulakan usaha mengumpul majalah seperti Dewan Siswa untuk belajar menulis rencana.

Rak buku pun dalam perancangan untuk ditambah.

Salina Ibrahim said...

Hasni,
Salam ceria. Mari terus menambah koleksi...r

Salina Ibrahim said...

DR Bubbles aka Iskandar,
Selamat bertemu kembali kawan! Readers' Digest pun salah satu koleksi yang dijilidkan. Tapi tak banyak sebab saya melanggan dua tahun saja. Suka tengok koleksi ni sebab dia kecil comel.