Follow by Email

Wednesday, January 27, 2010

HSPMSelepasRumahSiap


HSPM Ke-18 undang persoalanOleh Salbiah Ani

Kaedah pemilihan panel hakim biar lebih telus

HADIAH Sastera Perdana Malaysia (HSPM) ke-18 yang memberi pengiktirafan kepada 69 karyawan sastera negara ini bagi tahun penilaian 2004-2005 dan 33 penerima bagi tahun penilaian 2006-2007, undang beberapa persoalan.

Tidak pernah terjadi dalam sejarah pelaksanaan HSPM, membabitkan empat tahun penilaian berlangsung serentak sehingga sesetengah pengarang menganggap pemilihan karya mereka sudah basi kerana terlalu lama diperam!

Tinjauan secara rawak dengan beberapa pengarang kreatif menyatakan rasa tidak puas hati mereka kerana tumpuan lebih banyak diberikan kepada karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), seolah-olah tiada usaha mencari bahan terbitan dari luar kepompong badan berkanun terbabit.

Data menunjukkan sebahagian besar karya yang dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2004/2005 genre cerpen dan puisi disiarkan dalam Dewan Sastera seperti yang sering berlaku sebelum ini meskipun isu serupa pernah dibangkitkan beberapa kali.

Persoalan terbabit juga pernah dibangkitkan wartawan Sastera ketika Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berada di bawah kepimpinan mantan Ketua Pengarahnya, Datuk A Aziz Deraman, sehingga akhirnya kategori karya eceran diperkenalkan.

Dengan pengenalan kategori terbabit, Hadiah Sastera Malaysia (HSM) yang berlangsung dari 1981-1995, berubah namanya kepada HSPM mulai 1996/1997 dan kekal sehingga kini, sebelum ini dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera (HKS) (1971-1976).

Selaras dengan matlamat hadiah yang bertujuan memberi pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada penulis yang menghasilkan karya bermutu, mengenal pasti karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu dan menggalakkan penerbit menerbitkan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu.

Nampaknya keputusan HSPM 2004-2005, tidak menunjukkan banyak perubahan meskipun kategori karya eceran diperkenalkan sejak 1996 kerana hanya dua cerpen boleh dilabelkan sebagai luar biasa apabila memecahkan monopoli Dewan Sastera.

Di Bawah Langit Copenhagen karya Salina Ibrahim dalam majalah Nur pada Januari 2004 dipilih dan Siti Hajar Mohd Zaki tampil maha hebat melalui Panorama Seorang Nisa, dalam majalah tepu hiburan, URTV, keluaran 15-30 September 2005.

Bagaimanapun, taburan pemenang untuk kedua-dua kategori terbabit menyaksikan pecahan monopoli Dewan Sastera lebih sedikit dalam senarai pemenang untuk HSPM 2006/2007 yang majlisnya berlangsung pada 18 Januari lalu.

Tiga cerpen dalam Berita Minggu yang memecahkan monopoli Dewan Sastera ialah Jerebu Dalam Blog Mak Andeh oleh Fudzail, Che Soleh Rial (A Rahman CM) dan Lintah (Anwar Ridhwan), manakala puisi pula, Sumpah Setia Tanjung Piai (Nisah Harun) dan Terlalu (Shapiai Mohd Ramly).

Dua cerpen dalam Mingguan Malaysia pula ialah Cinta Puncak Sagarmatha karya Rozais al-Anamy dan Pusaka Cendana (Nisah Harun), manakala puisi yang turut diumumkan sebagai pemenang dalam akhbar terbabit ialah Malam Rosiah (A Samad Said).

Kemenangan dalam kategori drama dan esei/kritikan/kajian sastera yang dimonopoli Dewan Sastera tidak dipersoalkan, memandangkan kedua-dua genre terbabit hanya mempunyai ruangan dalam majalah terbabit dan tidak media massa lain.

Begitu juga dengan kategori buku dengan pecahan novel, kumpulan cerpen, biografi/autobiografi; kategori buku dalam bentuk novel remaja, kumpulan cerpen remaja, kumpulan puisi remaja, kumpulan drama remaja, kumpulan puisi, kumpulan drama, kumpulan esei dan kritikan sastera.

Selain kategori buku kanak-kanak dengan pecahan novel kanak-kanak, kumpulan cerpen kanak-kanak, kumpulan puisi kanak-kanak dan kumpulan drama kanak-kanak, tetapi tetap mengundang persoalan apabila banyak kategori yang kosong tanpa pemenang!

Ini kerana apakah benar tiada karya yang layak untuk dipilih sebagai pemenang atau sebenarnya penganjur tidak menerima sebarang pencalonan disebabkan pelaksanaan hadiah ini bermula pada tahun penilaian 2004/2005, peserta perlu mengirimkan karya mereka untuk dinilai pengadil!

Pendekatan yang memerlukan pengarang menghantar karya mereka kepada penganjur tidak sepatutnya dijadikan kaedah proses pemilihan kerana ia meletakkan status hadiah terbabit sama dengan sayembara sastera iaitu bersifat peraduan.

Tidakkah pendekatan cara ini tersasar daripada matlamat pengenalan hadiah terbabit yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada karya bermutu dalam genre masing-masing tanpa mengira siapa pengkarya dan penerbitnya!

Penulis sendiri terkejut ketika dihubungi seorang pegawai DBP yang meminta mencarikan cerpen dan puisi yang diterbitkan sepanjang 2004/2005 dalam Berita Minggu untuk dinilai HSPM kerana perkara terbabit tidak pernah berlaku sebelum tahun penilaian terbabit.

Tawaran penulis agar pegawai terbabit mencari sendiri atau menghantar pembantunya untuk mengesan semua cerpen dan puisi dalam Berita Minggu sama ada melalui carian dalam talian atau potongan akhbar yang disediakan di Unit Sastera, Berita Harian, tidak disambut!

Malahan penulis juga turut menerima e-mel daripada pegawai DBP yang tidak dikenali meminta agar salinan cerpen Soleh Che Rial dikirimkan kepada mereka berserta dengan alamat penulis terbabit dan tarikh terbitan untuk penilaian HSPM 2006-2007!

Tugas mengumpul segala karya untuk HSPM bukan menjadi tanggungjawab editor di akhbar atau majalah yang mempunyai ruangan sastera kerana ia di luar bidang tugas mereka, selain selaku pengelola mereka bergelut dengan masa, apalagi jika terbabit sama dalam operasi terbitan harian!

Sepatutnya pegawai terbabit sudah ada senarai terbitan yang mempunyai ruangan sastera kerana dengan cara itu mereka dapat mengatur strategi kaedah pengumpulan semua bahan bagi tahun yang dipertandingkan dan masa dapat dijimatkan selain pengadilan lebih telus dapat berlangsung!

Seingat penulis, sepanjang menjadi wartawan sastera bermula 1993 dan sebagai editor sastera bermula 2003, tidak pernah walau sekali Sekretariat HKS, HSM mahupun HSPM, meminta salinan semua puisi dan cerpen dalam Berita Minggu untuk diserahkan bagi tujuan penilaian.

Bayangkan empat terbitan setiap bulan dan sejak setahun lalu lapan terbitan sebulan, jika dikalikan dengan 52 minggu, berapa halaman perlu dicari dan dibuat salinan untuk diserahkan kepada sekretariat bagi tujuan penilaian dan masa perlu dikorbankan atas kepentingan HSPM!

Malah, penulis selaku editor turut ralat dengan keputusan pemenang bagi tahun penilaian 2006-2007 khususnya bagi genre cerpen kerana ada beberapa karya menarik dan kritis sama ada dari segi tema mahupun teknik penulisan, tercicir daripada penilaian.

Cerpen 10 Budak Hitam yang mengkritik secara langsung gejala sosial semasa remaja dan masyarakat Melayu disiarkan dalam Berita Minggu bertarikh 22 Julai 2007 dan 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan (2/12/2007), antara contoh yang boleh diberikan.

Pengarang veteran, Dr Fatimah Busu, selaku pengarang kedua-dua cerpen terbabit ketika dihubungi, memaklumkan kepada penulis bahawa beliau tidak mengirim salinan karyanya kepada Sekretariat HSPM 2006-2007 kerana bukan menjadi tugas pengarang untuk berbuat demikian!

“Bagi saya tugas pengarang mengarang dan menghantar ke penerbitan yang menjadi sasaran dan terserah kepada penganjur HSPM untuk mengumpulkan segala karya yang mendapat tempat dalam akhbar, majalah dan jurnal,” katanya ketika dihubungi Sastera, Ahad lalu.

Seorang pengarang muda ketika ditanya mengenai perkara itu, menjawab selamba: “Di Malaysia apa juga peraduan dan anugerah dengan peruntukan daripada kerajaan serta diuruskan oleh DBP, tidak payah hantar kerana kemenangan adalah untuk kroni mereka. Balik-balik muka yang sama.”

DBP selaku penganjur HSPM perlu meneliti perkara yang dibangkitkan memandangkan HSPM bukan peraduan dan jika sekretariat sebelum 2004-2005 boleh menguruskan pemberian hadiah tanpa mengharap pengarang mengirim karya mereka, mengapa tidak sekarang?

Selain itu, DBP juga diminta meninjau semua terbitan yang mempunyai ruangan kreatif kerana selain Dewan Sastera, Berita Harian, Berita Minggu dan Mingguan Malaysia, banyak lagi akhbar tabloid dan akhbar seperti Wasilah, Siasah, Keadilan dan Harakah, kini turut menerbitkannya.

Penganjur juga perlu mengelak melantik pengarang kreatif daripada menganggotai Panel Penilai HSPM bagi mengelakkan berlakunya situasi pilih kasih, sekalipun tidak terbabit dalam penilaian karya sendiri yang turut dipertandingkan.

(Sumber: Berita Harian, 26 Februari 2010)

0 comments: