BERTANDANG ke Segamat lagi. Destinasi kali ini ke UiTM cawangan Johor bagi memenuhi undangan program Bicara Sastera. Program hasil kerjasama DBP Wilayah Selatan dan Persatuan Penulis Johor daerah Segamat ini diadakan bagi meraikan Bulan Bahasa Kebangsaan 2012. Program dua hari ini mempertemukan para penulis, yang berkongsi perjalanan kreatif masing-masing.
Ada Rahimah Muda, Haji Shapiai Muhamad Ramly, Zaid Akhtar, Syukri Sapuan dan Dr. Arbak Othman. Turut hadir novelis Saga, Cikgu A.Talib Hassan. Saya tiba menjelang tengah hari, sebab pagi itu baru bertolak dari KL. Hanya sempat dengar separuh perkongsian pengalaman Puan Rahimah. Tak sempat berbual panjang dengan Mem (saya panggilnya Mem sebab cerpennya ‘Mem Bercoker Emas’ yang menang HSKU 2011 baru-baru ini) sebab dia hendak pulang ke Johor Bharu petang itu juga.
Slot saya pada sebelah petang bersama-sama Zaid Akhtar. Datang dari jauh, jadi saya ambil kesempatan bermalam di sana. Jadi, dapatlah menjengah bandar Segamat bersama-sama Dr. Arbak dan Syukri yang juga bermalam di sana. Peluang bertemu para penulis (tidak kiralah lama atau baru, muda atau tak muda), dapat dimanfaatkan untuk berkongsi cerita, saling tahu perkembangan masing-masing, malah boleh dapat idea untuk projek penulisan seterusnya. Maklumlah kerja-kerja penulisan ini selalunya dilakukan seorang diri, peluang bersua muka kawan-kawan penulis hanya pada waktu tertentu dan sebab itu kena gunakan peluang betul-betul.
Bersama orang penting program, Prof Madya Ahmad Nawawi (kiri sekali) dan Encik Ainon Hasanal Jalaluddin (kanan). |
Di UiTM Segamat itu, ramai juga calon penulis (malah ada yang sudah bergelar penulis pun). Dalam banyak-banyak UiTM, saya fikir UiTM Segamat itulah yang paling rajin mengadakan aktiviti sastera, walaupun di sana tidak ada pengajian Komunikasi Massa atau Seni Halus.
Kenangan dengan sebahagian peserta program Bicara Sastera. |
0 comments:
Post a Comment