Monday, May 09, 2011

Menikmati Kumpulan Cerpen

Dari kiri Muhammad Teja, Roslan Shariff, Faisal Tehrani, Salina Ibrahim & Rebecca Ilham selesai sesi pelancaran buku di PWTC.


Bagaimana hendak tarik orang membaca sebuah kumpulan atau antologi cerpen? Soalan itu ditanyakan kepada saya oleh beberapa orang kenalan selepas kumpulan cerpen pertama saya ‘Memaknakan Cinta’ dilancarkan di PWTC sempena PBAKL hujung April lepas. Kalau hendak dibanding antara novel dengan kumpulan/antologi cerpen, tentulah orang lebih suka baca novel berbanding kumpulan/antologi cerpen.

Entahlah, saya pun tidak ada jawapan itu. Kita tidak boleh memaksa orang membaca buku yang mereka tidak suka. Manusia ada macam-macam selera. Ada yang suka novel, ada yang suka baca buku motivasi, ada yang hanya baca buku agama. Mereka ada rasional sendiri mengapa genre itu jadi pilihan mereka.

Sebagai penulis yang mendalami genre novel dan cerpen, sudah tentu dua genre itu jadi pilihan saya. Sehingga sekarang, saya tetap anggap menulis cerpen adalah latihan kepada menulis novel. Apabila saya buntu kerana tidak dapat menulis novel, apabila saya stres kerana gagal menulis novel (kerana tekanan-tekanan persekitaran), maka saya pun berusaha menulis cerpen sebagai mengubati stres itu. Menulis cerpen tidak tinggi tekanannya kerana cerpen boleh disiapkan sekali duduk saja. Asal dapat menulis, kira baguslah!

Sebagai pembaca, saya suka membaca kumpulan/antologi cerpen dalam beberapa situasi. Membaca cerpen tidak tinggi stres seperti baca novel. Kumpulan/antologi cerpen jadi pilihan ketika saya berpergian (terutamanya bertugas luar daerah). Lebih seronok jika berpergian menggunakan kenderaan awam seperti bas, keretapi atau kapal terbang. Jika tidak dapat tidur, saya boleh membaca.

Saya pernah bawa bekal novel tetapi membaca novel kadangkala meletihkan sebab saya terlalu teruja hendak habis segera. Saya tidak boleh tidur kerana hendak membaca, menyebabkan saya tidak cukup rehat. Tetapi apabila membaca kumpulan/antologi cerpen, selesai satu dua cerpen, saya boleh rehat kalau malas hendak sambung. Kalau baca sebelum tidur pun, rasanya tidur tidak terganggu.

Dengan 20-30 buah cerpen dalam sebuah buku, kita dapat menikmati 20-30 cerita yang pelbagai dengan setiap satu ada kesan, rasa dan cerita tersendiri. Bagi yang tidak berminat membaca novel tetapi mahu berjinak-jinak membaca genre kreatif, boleh mulai dengan kumpulan/antologi cerpen. Begitu juga, jika hendak membaca pemikiran pengarang, saya kira cerpen lebih tepat menggambarkan pemikiran pengarangnya.

Oleh itu, sudi-sudilah membaca kumpulan cerpen saya dan kawan-kawan yang baru dilancarkan sempena PBAKL lalu, Memaknakan Cinta (Salina Ibrahim), Tiga Kali Seminggu (Dr. Faisal Tehrani), Tak Payah Sombong Pun Tak Apa (Muhammad Teja), Kimono Ungu Bersulam Bunga (Rebecca Ilham) dan Tajam Fatamorgana (Kumpulan Puisi Roslan Shariff).

1 comments:

sha said...

sy suka kan kedua2 nya, mengikut situasi seperti akak juga...:)
kerana sy meminati cerpen dulu barulah meminati novel...
pada sy kalau seseorang itu minat membaca tak kirala cerpen or novel masih boleh digalakkan....yg tak minat membaca ni yang payah. yang dulu minat membaca pun kekadang dah kurang membaca akibat kekangan masa dan bahan bacaan yang baik....