Wednesday, December 29, 2010

PascaMPR2010

Terima kasih kepada Tuan Sallehuddin Abg Shokeran dan Tuan Haji Mohamad Yussop Ishak dari DBP Kuala Lumpur, yang hadir menyempurnakan majlis Penyampaian Hadiah Galakan Tunas Remaja & penutupan MPR 2010.


SEMINGGU berkampung di Minggu Penulis Remaja 2010 di Port Dickson, dengan 21 orang peserta yang pasti punya 21 perangai, empat fasilitator (Tuan Haji Shamsudin Othman, Sdr. Mohd Ridzuan Harun, Sdr. Khairunasriah Abd Salam & saya), juga beberapa orang urusetia dari Dewan Bahasa & Pustaka (yang diketuai Puan Zeti Aktar Jaafar), saya rasa tahap ‘tidak normal’ saya memang ketara.

Selepas tiga tahun tidak terlibat dengan MPR (kecuali tahun 2007 saya bertugas secara on/off), kali ini saya dapat rasa dan lihat kelainan. Alhamdulillah, tahun ini tidak ada ‘cerpen barah otak’ atau ‘cerpen leukemia’ yang suatu ketika dulu jadi bahan jenaka sinis para fasilitator dan pendamping.

Beberapa kelemahan karya mereka, kami terimalah seadanya – kerana itulah tujuan mereka dibawa masuk ke MPR (supaya karya mereka jadi lebih baik, malah tidak mustahil lebih baik daripada kami para fasilitator).

Saya ‘belajar’ banyak daripada para peserta ini. Berada dalam lingkungan remaja yang mahu jadi penulis ini, kadangkala saya rasa lucu campur kasihan. Memang mereka sudah berkarya di media tetapi banyak yang mereka tidak tahu rupa-rupanya. Sasterawan Negara pun ada yang tidak tahu, sebut karya SN pun mereka terpinga-pinga, sebut nama beberapa alumni MPR yang biasa menonjol di media, pun mereka tak pernah dengar.

Apabila berbual dan bertanya sendiri, barulah saya faham. Rupa-rupanya memang mereka tidak tahu. Di perpustakaan sekolah, tidak ada karya SN. Cikgu tidak pernah sebut. Kalau ada pun nama & karya SN yang mereka jumpa, hanya dalam Komsas. Emak ayah di rumah memanglah tak tahu siapa SN dan karya SN (emak abah saya di kampung dulu begitu juga, tapi mujur karya SN ada di perpustakaan sekolah menengah di Serata, Ipoh.)

Mereka tahu mereka perlu membaca jika ingin jadi penulis. Hari ini, bahan bacaan tambahan memang berlambak tetapi mereka keliru jenis bahan bacaan yang perlu mereka pilih untuk mereka telaah. Betapa mencabarnya kehidupan anak-anak remaja sekarang. (Zaman saya remaja dulu, susah mahu dapat buku dan buku tidak banyak seperti hari ini, tetapi buku yang ada boleh dikira bermutu sebagai bahan rujukan.)

Tidak hairanlah jika banyak yang remaja sekarang tidak tahu mengenai dunia sastera, walaupun ramai yang berkobar-kobar kata mahu jadi jadi penulis. Suasana yang sama juga saya lihat dalam semua bengkel yang pernah saya kendalikan untuk pelajar sekolah sebelum ini.

Saya lega apabila ada peserta MPR tahun ini, datang bertemu saya selepas ‘tamat pengajian’ dan semacam berikrar, “Kak Ina, saya serius mahu berada dalam bidang ini. Sekarang baru saya jelas apa nak dibuat. Saya akan cari dan baca semua karya besar selepas ini sebagai garis panduan saya.”

Saya doakan yang baik-baik saja untuk mereka. Mohon maaf atas segala salah silap, gurauan dan teguran kami yang mungkin terdengar kasar dan sengit di telinga mereka. (Ya, laser tetap laser...hehehe!)

Terima kasih juga kepada semua penceramah jemputan yang hadir berkongsi pengalaman mereka dengan para peserta (& kami fasilitator juga); Prof Madya Dr. Lim Swee Tin, Dr. Kamariah Kamarudin, Encik Zaen Kasturi, Puan Rozninah Abd Azib, Encik Azmi Ibrahim & Puan Filzah Ibrahim.

2 comments:

benuasuluk said...

catatan 'sentimental' dan cerita 'romantis' juga ada saya catat di blog saya :-).
Oh, terima kasih juga daripada saya kepada kawan-kawan, kerana saya juga dapat berkongsi dan belajar sesuatu di sini.

Salina Ibrahim said...

Sama-sama belajar dan berkongsi pengalaman, Wan. Dalam 'keadaan tak sengaja, ketawa dan main-main', rupa-rupanya banyak yang bermakna.