Friday, December 03, 2010

KumpulanCerpenPertama

SAYA menulis cerpen sudah lama. Sejak umur belasan tahun. Lama juga kan? Berapa jumlah semuanya, saya sendiri tidak terhitung. Ketika masih belajar dahulu, saya rajin juga menyenaraikan cerpen yang pernah tersiar, lengkap judul cerpen, media penerbitan dan tarikhnya sekali.

Lama-kelamaan saya tidak kuasa lagi.

Sistem rekod saya memang buruk!

Beberapa orang junior MPR pernah bertanya, “Bila Kak Ina akan keluarkan kumpulan cerpen sendiri?” Salah seorangnya, Khairul Nizam Ab Raub yang mengakui mengikuti perkembangan penulisan saya sejak cerpen pertama saya tersiar di Dewan Siswa ketika saya berusia 18 tahun.

Beliau malah dapat menyenaraikan dengan tepat beberapa judul cerpen terawal saya; karya-karya yang biasanya saya lupakan kerana karya itu tersangatlah dangkal dan malu mahu dikenang-kenang!

“Tak ada masa nak taip semula!” itu jawapan saya pada Khairul.

“Saya ada banyak masa. Beri pada saya. Saya tolong taipkan untuk Kak Ina...” Beliau pernah menawarkan diri. Memang ketika itu, beliau banyak masa kerana masih belajar.

Tawarannya tidak pernah saya ambil kisah. Pertanyaan orang lain juga, selalu saya abaikan.

Dan menjelang hujung tahun 2009 (jika tidak silap), saya mendapat SMS daripada Faisal Tehrani bertanya jika saya ada sejumlah cerpen untuk projek kumpulan cerpen. Beliau menerangkan serba ringkas tujuan dan syarikat penerbitan yang bakal menangani projek ini.

Saya memaksa diri untuk mengumpul semula cerpen-cerpen lama yang berselerak dan tidak terurus itu. Beberapa cerpen perlu ditaip semula. Saya bosan buat kerja ini tetapi saya tidak ada pilihan. Jika mahu segera, saya mesti buat sendiri dan tidak boleh bergantung kepada orang lain.

Paling lambat rasanya adalah menaip semula cerpen bertulisan jawi yang tersiar di Utusan Zaman & Utusan Melayu Mingguan (sebab jarang-jarang sangat membaca akhbar jawi)!

Akhirnya manuskrip yang memuatkan 30 buah cerpen siap. Saya kirimkan naskhah berjilid itu bersama sekeping CD kepada Faisal Tehrani melalui seorang rakan wartawan yang kebetulan mahu pergi mewawancaranya di Aswara.

Selepas itu, saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya malah hampir terlupa mengenai manuskrip berkenaan.

Hujung Oktober lalu, saya terkejut apabila disapa e-mel daripada editor di penerbitan berkenaan. Rupa-rupanya kumpulan cerpen saya sudah diambang penerbitan.

Sebanyak 20 cerita pendek (cerpen) dipilih. Asalnya 23 buah, tetapi saya terpaksa meminta editor mengeluarkan tiga daripadanya kerana masalah tertentu.

Insya-Allah, inilah hasilnya. Bila bakal berada di pasaran? Saya sendiri kurang periksa...harap-harap semuanya selesai sebelum 2011.

3 comments:

ZULKIFLI said...

Salam Dek Na,
Teringat saya usaha saya hendak mengkompilasikan cerpen mini awak semasa di ... dulu. Yang berjaya saya garap, daripada MPR, hanya Faisal Tehrani sahaja. Mujur pun. Saya dengar, pengarang banyak yang tidak beroleh royaltinya.

Teringat saya salah seorang penulis yang saya pilih karya-karyanya yang gitu-gitu sahaja (nak tolong kawan). Kerakusannya menghendakkan wang pendahuluan sampai menyamar segala (sengaja meluahkan isi hati pada orang yang faham).

Salina Ibrahim said...

Abang Zul,
Ya, saya ingat.. Abang Zul berusaha cuba masukkan koleksi cerpen saya. Cuma tak ada rezeki sebab saya staf. Tapi saya seronok sebab Abang Zul bagi saya peluang proof-read beberapa manuskrip penulis yang ada nama... Maklumlah budak baru grad (masa tu) tentulah excited dapat belajar benda baru & daripada editor lebih senior pula. Saya ada beberapa buah kumpulan cerpen mini tu (termasuk buku FT); jumpa masa 'selongkar' rak sebuah kedai buku di Jln TAR... bertahun-tahun dulu.

Zaid Akhtar said...

tahniah, Kak Sal.
:-)