Sunday, June 20, 2010

CatatanJakarta





11-14 Jun. Sekali lagi, ‘lari sekejap’ dari kesibukan Kuala Lumpur tetapi masuk dalam kesibukan Jakarta. Alhamdulillah penerbangan KL-Jakarta dengan Garuda GA821 lancar selesa dan sampai tepat masa.

Jakarta; kota yang kontras seperti kata pemandu pelancong Dadang yang tak kering idea dengan info dan jenaka; sampai kadangkala terkeliru yang mana satu betul, yang mana satu gurauan. Tetapi apa pun, Pak Dadang memang ‘superb’!

Sudah beberapa tahun tidak kunjungi Jakarta, memang banyak yang lain. Bangunan tinggi semakin banyak, kawasan setinggan pun begitu juga. Seperti kata Dadang, yang kaya tambah kaya, yang miskin kian melarat. Jenakanya, kalau orang Malaysia menetap di kawasan setinggan Jakarta mesti sediakan Pampers banyak-banyak, sebab pasti setiap hari akan kena cirit-birit!

Agenda utama, dua hari majlis ilmu; training ESQ tahap 3 ‘SC2’ di Menara 165, Cilandak. Subhanallah, suatu pengalaman yang menakjubkan! Pengalaman ini agak susah hendak diceritakan dengan kata-kata atau tulisan kerana ia adalah ‘suatu perjalanan yang harus dirasai dan dinikmati’.

Agenda sampingan ‘membeli belah’ walaupun tidak lama dan bukan yang utama. Tetapi kalau sudah datang Jakarta berombongan begitu, mestilah tidak lepaskan peluang ke Tanah Abang dan Mangga 2 (yang keadaannya jauh lebih baik berbanding dahulu), walaupun sekadar cuci mata dan lihat ragam penjual dan pembeli. Asyik nampak muka orang Malaysia saja dan kadangkala muka orang Indonesia dan muka orang Malaysia pun lebih kurang serupa!

Alhamdulillah, kami selamat sampai di KL dengan penerbangan Garuda GA818 pada jam 1 pagi selepas tertangguh lebih satu jam. Walaupun ada masalah sedikit apabila kapal terbang ‘dibrek mengejut’ dan berpatah balik di landasan sebab ada masalah system, semua orang agak cemas dan panas berkuap sekejap dalam pesawat menunggu sistem dipulihkan. Lega semua orang apabila pesawat kemudian lancar terbang seperti biasa.

Selamat tinggal Jakarta, selamat kembali Kuala Lumpur. Terima kasih pada Acik Nad dan Acik Rosile sebab jadi ‘kepala rombongan’ yang tip-top gitu! Untuk rakan-rakan seangkatan SC2, mudah-mudahan persahabatan terjalin kerana Allah dan kita semua bahagia dalam rahmat-Nya.

0 comments: