Friday, December 25, 2009

TahniahKepadaYangBerjaya

BUDAK-BUDAK sekarang semakin pandai. Tahniah! Teringat zaman jadi wartawan Pendidikan dahulu. Waktu pengumuman keputusan peperiksaan waktu paling sibuk; berkejar ke sekolah itu, berkejar ke sekolah ini sebab nak dapatkan interview budak-budak yang berjaya.

Dan orang yang paling seronok ditemubual bukanlah budak itu sendiri tetapi biasanya emak dia. Mulalah keluar cerita, "Saya dulu pun sekolah ini juga, itu sebab saya percaya sangat dengan kredibiliti sekolah ini dan mahu anak saya juga berjaya!"

Amboi kak! Apa-apalah. Siapa yang tak bangga dengan kejayaan anak kan?


Pelajar peroleh semua A meningkat

PUTRAJAYA - Seramai 28,188 pelajar memperoleh semua A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini berbanding 26,378 pada tahun lalu.

Ketika mengumumkan analisis keputusan peperiksaan itu di sini semalam, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, Gred Purata Nasional (GPN) tahun ini ialah 2.83 berbanding 2.78 tahun sebelumnya.

Menurutnya, calon luar bandar yang mendapat semua A ialah 4,775 berbanding 4,345 pada 2008 manakala 87,936 pelajar melepasi tahap minimum (A,B,C,D) berbanding 88,565 tahun sebelumnya.

“Pelajar yang mendapat semua E pula adalah 123 orang daripada 159 pada tahun lalu,” katanya.

Alimuddin berkata, prestasi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (BM), Bahasa Inggeris dan Bahasa Punjabi menurun sedikit.

“Peratusan berbanding tahun lalu untuk yang memperoleh semua A dalam BM menurun daripada 26.3 kepada 25.6 peratus tahun ini, BI pula menurun 16.4 peratus kepada 16.1,” katanya.

Terdapat peningkatan daripada 25.6 peratus kepada 26.7 peratus dalam bilangan pelajar yang memperoleh A dalam Matematik, manakala bagi mata pelajaran Sains ia naik daripada 17.2 peratus kepada 18.5 peratus.

Alimuddin berkata, untuk pelajar istimewa pula, daripada 134 yang mengambil peperiksaan itu tahun ini, tujuh orang mendapat semua A.

Pelajar istimewa, Siti Raihan Abdul Nasir dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Syed Ahmad Kuala Nerang, Kedah, yang rabun, berjaya memperoleh 9A.

Dua lagi pelajar istimewa lain mengalami rabun, Debbie Lim Huey Chin dari SMK Sultan Ismail dan Muhammad Azfar Firdaus Azlah dari SMK Dato Penggawa Barat di Johor Bahru, memperoleh 8A.

Sekolah harian terbaik termasuk SMK Jalan Empat Bandar Baru Bangi, Selangor, SMK Mak Lagam, Kemaman, Terengganu, SMK Sultan Badlishah, Kulim, dan SMK Sultanah Asmah, Alor Setar serta SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

Sekolah Berasrama Penuh terbaik pula ialah Sekolah Seri Puteri Cyberjaya, Sekolah Tun Fatimah Johor Baharu, Sekolah Dato Abdul Razak dan Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, serta SM Sains Tengku Abdullah, Raub.

SM Imtiaz, Besut dan SM Imtiaz, Kuala Berang, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya dan Sekolah Agama Persekutuan Kajang serta SM Agama Persekutuan Labu, muncul sekolah menengah agama terbaik.- Bernama

Berita dari www.sinarharian.com.my

0 comments: