Sunday, December 20, 2009

perhimpunanMPR09

Foto: Forum menampilkan Nimoiz TY (moderator), Lily Haslina, Raihani Saaid & Khairulnizam Raub.

PERHIMPUNAN Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009, bukanlah apa-apa sangat. Sama seperti majlis re-union lain yang saya hadiri. Tetapi yang paling terkesan adalah pertemuan dengan kawan-kawan dan guru-guru yang sekian lama tidak bertemu.

Saya antara generasi MPR terawal, yang berpeluang berguru, bertemu dan berdamping secara langsung dengan ‘pasukan pengasas’ MPR seperti Datuk Johan Jaafar, Pak Ali Majod, Dr. Othman Puteh (Allahyarham) dan Prof. Rahman Shaari (saya tahu ada nama penting lain tetapi maaf, mungkin saya tidak ingat untuk nyatakan di sini).

Kalau tanya pada generasi MPR yang baharu ini, mereka mungkin tidak tahu dan tidak kenal nama-nama ini. Mungkin juga tidak pernah bersua atau kalau berselisih bahu pun, boleh jadi tidak kenal. Tidak mengapa, kalau mereka sedar pentingnya ‘belajar sejarah’, perlahan-lahan mereka akan belajar mengenali dan mencari tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan sejarah tercetus idea MPR ini.

Foto: Dari kanan, Khairulnizam, Salina, Uthaya, Pak Ali Majod dan Zarihah. Di belakang ada Juliana, Ghafirah, Ida Munira, Nimoiz & Encik A. Wahab Hamzah.

Saya bangga bertemu guru saya di perhimpunan ini, Pak Ali Majod, yang rasa-rasanya sudah dua tahun tak bertemu. Saya seronok jumpa seniors yang saya kagumi dan hormati seperti Zarihah Hassan, Lily Haslina, Ruslan Ngah dan Ahmad Patria. Ada yang saya kenal mesra, ada yang setakat kenal nama saja. Saya seronok juga temui kawan-kawan MPR batch saya; Roslan Jomel, Rosie Haslinda, Saharil Hasrin dan Uthaya Sankar. Saya tahu ada kawan-kawan (terutamanya di luar ibu kota) yang teruja hendak hadir tetapi terhalang oleh keadaan. Dan saya juga bangga melihat juniors bekerja keras menganjurkan majlis ini walaupun tanpa gaji/upah.

Isu ‘MPR perasan bagus’ tetap relevan dalam perbincangan, forum dan sesi perkongsian semalam. Tetapi kami sepakat buat jenaka sahaja, “Kalau memang bagus, orang nak kata apa?” Kita bukanlah kata pengarang bukan kelahiran MPR tidak bagus, ramai yang sangat bagus sebenarnya, tetapi sekarang kita bercakap dalam konteks pencapaian alumni MPR.

Foto: Raja Zulaikha Raja Abdul Samad, salah seorang alumni MPR yang pernah saya jaga. Dulu budak kecik, sekarang, dia lebih besar daripada kakaknya!

Sekadar peringatan untuk diri sendiri (dan kawan-kawan lain, kalau rasa hendak terima peringatan ini), “Walaupun bagus, wajib juga ingat langit yang dijunjung dan bumi yang dipijak. Tiada salahnya hidup merendah diri dan berfikiran terbuka terhadap kritikan. Segala bakat, anugerah dan kelebihan yang ada ini milik Allah semuanya. Semuanya datang dengan amanah & tanggungjawab. Andai tidak dijaga dan dikendalikan betul-betul, bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik balik!”

Terima kasih semua yang hadir menautkan silaturahim. Yang namanya tidak disebut, maafkan saya, bukan terlupa, tetapi tak ingat!

3 comments:

mariahsj said...

Ehem,
Seronok juga dapat berjumpa kawan-kawan dan karyawan MPR. Lebih teruja dapat berjumpa Pak Ali Majod, Salina, Lily, Saharil dan beberapa nama lagi. Nantikan kemunculan MPR terbaharu, Toyiba yang sangat berbakat dan kini sedang mengikuti bengkel MPR di PD. Ada juga beberapa nama lain tetapi Toyiba yang lebih melekat di minda.
Kak ton juga menantikan kemunculan semula Hizairi walaupun ada rakan-rakan yang mengatakan beliau mungkin tidak ada lagi...

hani salwah yaakup said...

Kak Sal,
terima kasih kerana hadir. Bak kata Kak Ton, kita nantikan Toyiba Mursyida, M Faizal Ghazali, Mohd Haniff dan rakan-rakan yang lain di MPR 2009.

Salina Ibrahim said...

Kak Ton & Hani,
Terima kasih kembali. Saya selalu doakan Hizairi selamat walau di mana sahaja dia, di alam nyata atau di alam ghaib. MPR 09 - mudah-mudahan ada yang 'betul-betul menjadi'. Seorang sudah memadai bagi saya, tetapi kalau dapat lebih, tentulah lebih baik dan berbaloi-baloi!