Monday, October 05, 2009

karya yang saya suka!

SAYA punggah koleksi majalah yang bertahun-tahun sudah saya jilidkan dan terjumpa cerpen ini. 'Harapan Pun Menjadi Debu' karya Ani Mawar Abdullah yang tersiar dalam Dewan Siswa (DS) November 1985, antara cerpen yang amat saya gemari sejak saya kenal DS.

Inilah antara cerpen yang jadi 'guru' saya, yang buat saya berangan-angan hendak jadi seorang pengarang kreatif. Apabila saya mula jadi pembaca tetap DS sekitar tahun 1987, saya temui pula cerpen 'Antara Dua Pilihan' karya Ani Mawar yang tersiar dalam DS, Ogos 1987.

Dua cerpen Ani Mawar ini selalu jadi topik perbincangan saya dengan sahabat baik, Putri Al-Inshirah semasa kami di tingkatan lima di Serata, Ipoh. Dua orang hamba Allah ini sangat 'gila' hendak jadi pengarang ketika itu! Maka banyaklah cerita mengarut merapu yang keluar dari batas imaginasi kami.

Dua cerpen ini memang terkesan lama di hati saya. Ketika saya sertai Minggu Penulis Remaja DBP, Ani Mawar antara pengarang yang paling ingin saya temui walaupun tidak ada rezeki untuk berjumpa ketika itu.

Sehinggalah pada tahun 2001 (kalau tidak silap), nama Ani Mawar muncul semula apabila beliau diumumkan salah seorang pemenang hadiah utama Pertandingan Formula Malaysia (2000) yang menawarkan hadiah puluhan ribu RM, berkongsi dengan Hizairi Othman dan Zarihah Hassan (yang juga alumni MPR).
Hizairi serahkan nombor telefon Ani Mawar dan Zarihah dengan pesanan, "kalau ada masa telefonlah mereka." Saya beranikan diri menelefon, perkenalkan diri dan Tuhan saja tahu betapa seronoknya saya apabila mereka layan saya berbual seperti sudah 10 tahun berkawan.
Pertama kali saya bertemu Ani Mawar semasa saya undangnya untuk slot Alumni dalam salah satu MPR yang saya jaga. Lapan tahun lepas. Selepas itu kami tidak jumpa lagi dan hanya sesekali berSMS.

Pernah juga setahun dua saya kehilangan nombornya tetapi tup-tup saya terima SMSnya dan kami bersilaturahim balik. Sama seperti minggu lepas, selepas lama tidak berhubung, saya dapat SMS dari kakak saya ini mengundang saya ke rumah terbukanya.
Rupa-rupanya sudah setahun lebih beliau balik menetap satu kawasan dengan tempat tinggal saya. Alhamdulillah, Tuhan pertemukan kami semula (berjiran pula!) selepas lapan tahun. Sekarang sudah ada gelar 'Datin'. Apa pun, saya seronok dengar perkembangan terbaru Kak Ani dengan bisnes dan kerja amalnya. Cuma satu saja kak, jangan lupa menulis semula ya! Akak dah janji dengan saya kan....!

5 comments:

hafizahiszahanid said...

Hehehe.. begitulah kita kan?
Saya dulu teringin nak kenal Shaidah Shafie..sebab saya suka sekali dgn cerpennya, Pulangnya Menebus Janji.. sekali bukan saja dah kenal, satu opis lagi!

Pija Madzlan said...

Saya pulak baru beli Bukan Yang Pertama....skang duk kumpul stamina tak naik2 lagi untuk mula membaca....wish a very best of luck to U too

Salina Ibrahim said...

fiza,
cantik aturan Allah Taala kan? Dia dah bagi kita 'kenal' dulu sebelum kita jumpa orangnya di alam zahir.

siti,
baca. selamat membaca. saya tunggu komen yang membina.

tinta kasturi said...

singgah menjengah, jenguk-jenguk, baca-baca

moga kak salina sihat dan ceria selalu

:)

Salina Ibrahim said...

selamat juga kepada tinta kasturi.