Follow by Email

Friday, October 16, 2009

bagaimana nak tulis


SAYA selalu terima soalan-soalan begini daripada orang yang mengaku dia berminat sangat-sangat dalam bidang penulisan kreatif:

1. Bagaimana caranya untuk saya mula menulis?
2. Di mana boleh dapatkan ilmu dalam bidang tersebut?
3. Bagaimana hendak sertai kursus bidang penulisan?
4. Saya nak tulis tapi tak tahu apa yang nak tulis?
4. Bagaimana hendak dapatkan idea?

Sejujurnya, saya agak letih menjawab soalan-soalan begini. Saya juga sudah banyak kali menulis mengenai perkara ini. Bagaimanapun, berikut saya beri beberapa tip secara ringkas:

1. Kalau hendak mengarang, karang sajalah. Yang penting tulis dulu. Itu akan jadi latihan untuk memahirkan diri.

2. Hendak jadi pengarang yang baik, mesti banyak membaca. Tidak terhad pada bacaan apa pun, tetapi pilihlah bacaan bermutu. Pesan salah seorang guru saya, kalau nak jadi pengarang (cerpen) yang baik, bacalah 50 cerpen yang baik seminggu. Saya selalu percaya ilmu terbaik untuk memperbaiki penulisan adalah dengan banyak membaca.

3. Idea ada di mana-mana; TV, akhbar, internet, masa duduk dalam bas, LRT, ketika memandu, masa hadir rumah terbuka, ketika berbual/bergosip/mengumpat dengan kawan, banyak lagi! Cuma bagaimana kita melihat itu atau perspektif kita terhadap perkara itu; yang itu akan jadikan idea itu lebih menarik.

4. Kursus penulisan boleh diikuti sama ada secara formal atau tidak. Yang tidak formal, biasanya dibuat dalam bengkel, diskusi buku, forum dan lain-lain oleh individu atau persatuan penulis. Kalau umur bawah 21 tahun, boleh ikuti Minggu Penulis Remaja (blog alumni: minggupenulisremaja.blogspot.com) anjuran Dewan Bahasa & Pustaka. Penyertaan untuk MPR 2009 sudah dibuka, syaratnya WAJIB sudah ada karya (cerpen atau puisi) yang pernah tersiar di mana-mana penerbitan. Yang formal, seperti yang ditawarkan oleh Aswara. (Sahabat saya di Aswara, Ridzuan Harun (benuasuluk.blogspot.com) mungkin boleh jawab mengenai kemasukan ke Aswara. Tetapi seperti biasa, kalau Wan salah seorang tenaga pengajar, kenalah bersedia mental & fizikal untuk berdepan ‘soalan-soalan maut’ daripadanya. Jangan pandai-pandai menjawab, Sasterawan Negara ada 100 orang, bengkak kepala kena luku nanti!)

Tetapi yang lebih penting, tulislah, karanglah dahulu. Kalau hendak tunggu lepas masuk kursus baru hendak menulis jawapnya memang tak akan menulis. Malah ramai juga yang beria-ia berkursus sana sini tetapi satu ayat pun tak tulis, apatah lagi nak siapkan sebuah karya!

Siapa rugi? Dia sendirilah!

Jadi, tulislah tulis!


(Bersambung...)

0 comments: