Monday, March 18, 2013

Tip Penulisan: Siapa Nak Terbit?

Antara soalan yang saya terima berkaitan proses menerbitkan novel:



Secara ringkasnya, begini jawapan saya:


‘Tempat terbit novel’ dipanggil ‘penerbit’ atau ‘syarikat penerbitan’. Terlebih dahulu, sedikit pesanan saya; biasakan diri menggunakan perkataan yang betul supaya soalan kita tidak kedengaran dangkal. Tiada gunalah kita mahir guna Internet, bere-mel bagai kalau masih guna perkataan yang salah. Penggunaan internet bukan setakat untuk ber- ‘facebooking’ atau ‘twittering’ saja ya!

1.      Ketika merancang, menulis dan menyiapkan sesebuah novel (atau istilahnya dipanggil manuskrip (iaitu bahan yang telah disediakan oleh penulis untuk dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku dan lain-lain), calon pengarang sepatutnya sudah tahu kepada penerbit mana manuskrip itu bakal diajukan.

2.      Oleh itu, calon pengarang mesti membuat penyelidikan tentang syarikat penerbitan yang disukainya. Jika dia menggemari novel-novel terbitan Alaf21, banyak membaca karya terbitan Alaf21,  dan berhajat hendak hantar karyanya ke sana, maka tulislah dengan gaya Alaf21.  Jika seleranya lebih kepada gaya novel-novel  terbitan PTS, maka menulislah dengan gaya sebegitu dan sasarkan kepada penerbit berkenaan. Apabila kita banyak membaca novel yang diterbitkan oleh sesebuah syarikat penerbitan, tentulah sedikit banyak kita tahu dan biasa dengan gaya penerbit itu (dari segi ceritanya, bahasanya, persembahannya dan lain-lain). Setiap penerbit ada stail masing-masing. Jika menulis dengan gaya penerbit A tetapi hantar kepada penerbit B, sudah tentu penerbit B susah hendak terima.  Jadi kalau ada pengarang yang mengeluh lima penerbit (satu demi satu) menolak manuskripnya, maka fikirkanlah balik, mungkin dia sebenarnya menulis tidak menepati kehendak penerbit itu!

3.      Buat carian di internet untuk dapatkan alamat dan e-mel penerbit. Hampir semua penerbit ada laman web masing-masing atau sekurang-kurangnya Page FB.  Di sana, kita boleh dapatkan alamat syarikat dan alamat e-mel.  Setiap penerbit ada cara masing-masing ketika menerima manuskrip. Ada penerbit mahu calon pengarang mengirimkan manuskrip penuh bercetak, oleh itu harus dikirim melalui pos atau hantar sendiri. Ada yang menerima kiriman manuskrip melalui e-mel. Untuk kepastian, eloklah kirimkan e-mel dahulu bertanya kepada penerbit (editor).

4.      Selamat menulis.

2 comments:

Blog Cikgu Farzana said...

Assalamualaikum akak.. saya ada nak tanya sesuatu... saya ada menulis sebuah novel..(belum siap) tetapi saya anggarkan hanya dalam 300 lbih sahaja muka surat.. novel saya ini berkaitan unsur cinta.. adakah pihak penerbit akan terima novel saya ini?? sama ada dalam novel remaja atau novel dewasa??
Terima kasih.. Saya harap orang berpengalaman menulis novel seperti akak dapat membantu saya..

Salina Ibrahim said...

Ada Ni,

Susah nak jawab soalan yang umum begini.

Cara terbaik nak tahu adakah manuskrip itu sesuai atau tidak, adalah dengan mengirimkan manuskrip itu kepada penerbit yang berkenaan. Setiap penerbit ada ciri-ciri yang mereka mahu, yang mungkin berbeza antara satu penerbit dengan penerbit yang lain. Paling kurang hubungi editornya (melalui e-mel pun boleh rasanya) untuk bertanyakan ciri-ciri karya yang sesuai dengan kehendak mereka.

Selamat menulis.