Saturday, January 21, 2012

Hikayat Pencari Hikmah




HIKAYAT PENCARI HIKMAH
Oleh SALINA IBRAHIM

ARAKIAN naiklah takhta Sultan Tengku Kamil selepas mangkat ayahandanya, Sultan Tengku Malik angkara gering mengejut. Ada yang mengatakan sultan tua itu mangkat menyantap cendawan goreng yang rupa-rupanya beracun. Ada yang mengatakan sultan tua itu terkena sihir, almaklumlah sebelum ini baginda tidak pernah jatuh gering, tiba-tiba sekali ini geringnya terus membawa kemangkatan.

Namun sebenarnya bukanlah kisah Sultan Tengku Malik yang ingin kita panjangkan di sini. Sebaliknya ini adalah hikayat anakandanya, Tengku Kamil. Tengku Kamil yang muda lela lagi anom orangnya tersohor sudah sealam buana dengan sifat cerewet lagi memilih. Tidak terlayan warga istana dengan kerenahnya. Andai bersiap mahu bertemu para menteri, persiapannya bukan sekejap. Sebelum fajar menyingsing sehingga matahari meninggi menggalah, barulah usai. Alasan sultan yang masih bujang ini mudah amat. Baginda mahu segalanya sempurna, sesempurna namanya Tengku Kamil.

Habis segala tukang; tukang busana, tukang sikat, tukang gunting dan tukang solek, dipanggil buat menyiapkan baginda seorang. Selagi tidak berpuas hati, takkan Tengku Kamil keluar dari kamar. Peduli apa baginda jika semua orang berkeluh-kesah menunggu, yang penting tubuh baginda berandam elok.

(Baca cerpen ini di Dewan Sastera, Januari 2012. Dewan Sastera Januari 2012 juga menampilkan karyawan penerima S.E.A Write Award 2011, Sdr S.M Zakir.)

6 comments:

Tetamu Istimewa said...

Tahniah Puan Salina. Bagaimanakah Puan mendapatkan naskah Dewan Sastera? Saya dari bulan 11 tahun lepas tidak dapat menatap DS. Entah kemelut apa yang melanda. Pergi ke kedai, katanya stok belum sampai. Bagaimana mahu memupuk budaya membaca, sekiranya yang dimahukan tidak ada sebaliknya yang tidak mahu dibaca belambak di pasaran.

Salina Ibrahim said...

Terima kasih Sdr Helmi. Akak langgan DS. Dan untuk 2012 menyambung langganan lagi setahun. Langganan 12 keluaran lebih kurang RM60-RM70 saja. Lebih mudah, tidak perlu ke Koop DBP setiap bulan, kalau majalah lambat keluar di pasaran pun, masih tetap dapat. Kita pun tidak stres mencari di kedai sana sini. Selamat berkarya.

hasni hanna said...

Assalamualaikum Kak Salina, apa khabar? sudah lama Hasni (Hanna) tak tidak ke sini. Rindu rasanya.

Tahniah atas karya-karya Kak Salina yang tersiar. Diam-diam, kalau jumpa sempat juga saya baca di akhbar dan majalah. :)

Novel Islamik selepas Tiada Khatimah Cinta ada lagi tak? :)

Salina Ibrahim said...

Waalaikumussalam, Dik Hasni Hanna. Terima kasih berkunjung lagi ke sini. Selepas Tiada Khatimah Cinta? Insya-Allah, ada yang terkini, masih dalam perancangan, tak ada khatimahnya. Rindu Hasni juga!

Tetamu Istimewa said...

Dah lama sebenarnya saya nak tanya Kak Salina akan jumlah sebenar cerpen akak yang tersiar di media. Saya ada baca beberapa buah novel akak yang mencatatkan akak telah menghasilkan 100 buah cerpen yang tersiar di media. Hingga kini sudahkah mencecah 150? Saya sangat kagum dengan akak.

Salina Ibrahim said...

Helmi, terima kasih. Kurang lebih 100 buah rasanya. Mungkin belum capai 150. Ini termasuklah cerpen-cerpen yang dihasilkan sejak zaman sekolah, universiti & baru bekerja (sebelum beralih tulis novel) termasuk sekarang. Cerpen yang dihasilkan zaman remaja dulu memang malu sendiri kalau baca semula! Dalam dua tiga tahun ini, akak cuba buat sistem rekod yang baru (berdasarkan apa diingat... tapi memang banyak yang tak ingat). Banyak yang gagal dikesan, naskhah hilang dan tiada salinan. Zaman dulu tak ada komputer, naskhah asal atas kertas habis dimakan lipas. Jujurnya sistem rekod akak memang lemah. Yang ini, memang tak boleh dijadikan teladan. :(