Tuesday, March 22, 2011

Sabtu Yang Sarat Ilmu

Sabtu – seharian yang padat ilmu. Jam lapan pagi saya sudah sampai di UKM kerana diundang sebagai penceramah dalam Bengkel Kemahiran Komunikasi bagi pelajar Persuratan Melayu tahun akhir yang bakal menjalani latihan industri Mei depan.
Seronok juga berkongsi pengalaman kerjaya bersama mereka. Pengalaman dalam dunia kerjaya ini jarang-jarang saya ceritakan pada orang dengan panjang lebar.

Namun saya harap sedikit perkongsian, terutamanya peringkat penyesuaian diri apabila saya bertukar bidang masuk ke dunia kerjaya yang asing berbanding pendidikan formal saya, dapat memberikan semangat dan keberanian pada mereka (tidak kisahlah sedikit atau banyak) apabila bergelar warga industri nanti.

Usai sesi saya selama dua jam, dua jam berikutnya diganti oleh Sdr Nizal Mohamad, otai dalam bidang penyiaran. Saya teruja juga mahu mendengar ceramahnya sebab ketika berbual semasa minum pagi bersamanya, dia sempat berkisah satu dua pengalaman. Saya pasti dalam dua jam bersama pelajar, tentu lebih banyak yang akan beliau kongsikan.

Namun minda saya sudah melayang ke program Sehari Bersama Editor, Pengarang dan Penerbit di UPM. Sesi saya di UPM sebelah petang, tetapi saya tahu sesi sebelah pagi tidak kurang menarik. Hati berbelah bahagi, tetapi saya terpaksa bergerak ke UPM juga.

Sesi pagi bersama Sdr Zaid Akhtar, Puan Rozninah Azib dan Puan Nor Azah Aziz; tetapi saya hanya sempat ikuti sesi Kak Azah. Sesi petang, saya bersama Sdr Nisah Haron dan Sdr Zahirudin Zabidi. Sesi santai, jadi banyaklah juga cerita gelak ketawa yang kami kongsikan.

Namun dalam gelak tawa itu, sebenarnya cukup banyak tip-panduan-petua yang dikongsikan enam panel. Bukan senang dapat kumpulkan pengarang-penerbit-editor dalam satu sesi, malah didatangkan khas pula kepada pelajar yang mendalami subjek penulisan. Jadi peluang ini amat berguna andai dimanfaatkan sepenuhnya oleh calon pengarang.

Saya sendiri senang dapat bertemu rakan-rakan pengarang-editor-penerbit sebab dapat bertukar cerita dan dapat tips terkini. Walaupun pengarang biasa ‘bekerja’ seorang diri tetapi ada waktu-waktunya, kita memerlukan rakan pengarang-editor-penerbit yang lain atas banyak sebab, terutamanya bagi menaikkan motivasi ketika berkarya.
Terima kasih dan syabas pada tuan-tuan rumah, Dr. Mawar (UKM) dan Dr. Kamariah (UPM). Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.



0 comments: