Thursday, March 28, 2013

MPR 2013

Alhamdulillah, Minggu Penulis Remaja 2013 sudah selesai. Kepada peserta yang baru tamat pengajian, selamat menyertai keluarga besar alumni MPR!


Aktiviti luar, meneroka alam. Meredah belukar, cari air terjun.  Penat , pergh...!

Nama-nama calon pengarang...
Bukan peserta. Sekadar menumpang. Berbengkel dalam hutan, jadi banyaklah makhluk alam ikut sekali...
Tahniah kepada mereka. Eh, anak siapa yang terlebih 'excited' tu?

Monday, March 18, 2013

Tip Penulisan: Siapa Nak Terbit?

Antara soalan yang saya terima berkaitan proses menerbitkan novel:



Secara ringkasnya, begini jawapan saya:


‘Tempat terbit novel’ dipanggil ‘penerbit’ atau ‘syarikat penerbitan’. Terlebih dahulu, sedikit pesanan saya; biasakan diri menggunakan perkataan yang betul supaya soalan kita tidak kedengaran dangkal. Tiada gunalah kita mahir guna Internet, bere-mel bagai kalau masih guna perkataan yang salah. Penggunaan internet bukan setakat untuk ber- ‘facebooking’ atau ‘twittering’ saja ya!

1.      Ketika merancang, menulis dan menyiapkan sesebuah novel (atau istilahnya dipanggil manuskrip (iaitu bahan yang telah disediakan oleh penulis untuk dicetak dan diterbitkan dalam bentuk buku dan lain-lain), calon pengarang sepatutnya sudah tahu kepada penerbit mana manuskrip itu bakal diajukan.

2.      Oleh itu, calon pengarang mesti membuat penyelidikan tentang syarikat penerbitan yang disukainya. Jika dia menggemari novel-novel terbitan Alaf21, banyak membaca karya terbitan Alaf21,  dan berhajat hendak hantar karyanya ke sana, maka tulislah dengan gaya Alaf21.  Jika seleranya lebih kepada gaya novel-novel  terbitan PTS, maka menulislah dengan gaya sebegitu dan sasarkan kepada penerbit berkenaan. Apabila kita banyak membaca novel yang diterbitkan oleh sesebuah syarikat penerbitan, tentulah sedikit banyak kita tahu dan biasa dengan gaya penerbit itu (dari segi ceritanya, bahasanya, persembahannya dan lain-lain). Setiap penerbit ada stail masing-masing. Jika menulis dengan gaya penerbit A tetapi hantar kepada penerbit B, sudah tentu penerbit B susah hendak terima.  Jadi kalau ada pengarang yang mengeluh lima penerbit (satu demi satu) menolak manuskripnya, maka fikirkanlah balik, mungkin dia sebenarnya menulis tidak menepati kehendak penerbit itu!

3.      Buat carian di internet untuk dapatkan alamat dan e-mel penerbit. Hampir semua penerbit ada laman web masing-masing atau sekurang-kurangnya Page FB.  Di sana, kita boleh dapatkan alamat syarikat dan alamat e-mel.  Setiap penerbit ada cara masing-masing ketika menerima manuskrip. Ada penerbit mahu calon pengarang mengirimkan manuskrip penuh bercetak, oleh itu harus dikirim melalui pos atau hantar sendiri. Ada yang menerima kiriman manuskrip melalui e-mel. Untuk kepastian, eloklah kirimkan e-mel dahulu bertanya kepada penerbit (editor).

4.      Selamat menulis.

Tuesday, February 19, 2013

Rencana cut, copy & paste sajalah!


“Nak ikut pergi China tak? Guilin?” Seorang kawan tuit saya beberapa bulan lepas. China, tahu. Guilin, entah di ceruk mana.  Saya tak arif geografi China tetapi saya setuju sahaja dulu. Setuju, maksudnya, kena berdikit menabung.

Sampai dekat-dekat nak pergi, barulah saya cari sedikit maklumat asas tentang Guilin. Sebenarnya Guilin bukan tempat yang asing sangat bagi orang Malaysia. Ramai orang kita biasa melancong ke sana. Penerbangan ke Guilin selama empat jam.  Dari Guilin, menaiki coaster ke Yangshuo selama 1 ½ jam. Hari pertama di Yangshuo, sudah berjumpa beberapa orang Malaysia. Kemudian kembali ke Guilin untuk dua malam, jumpa lagi orang Malaysia. Itu tandanya Guilin tak asing lagi pada kita. 

Yang penting banyak tempat menarik. Yangshuo terkenal dengan pemandangan indah, gunung-ganang batu kapur, kampung dan sungai. Guilin kota besar (lebih besar daripada KL), tetapi ada beberapa lokasi yang indah juga. Jadi sediakan kamera!

Tak dapat nak cerita banyak. Senang cerita, saya turunkan rencana Kusyi Hirdan yang tersiar di Harian Metro 30 Jan 2013 lepas. Salah satu agenda kami adalah berakit di Li Jiang (Sungai Li), Yangshuo...
  
Berakit di Li Jiang. Kami tak naik rakit kecil ini kerana perjalanan berakit begini khabarnya  panjang (sehari).
Kami naik rakit besar yang muat ramai dan pendekkan perjalanan beberapa jam.

Mercu tanda Guilin. Indah dilihat waktu malam.
Bayang yang terpantul pada air  menambah cantik.



KOSTUM WARNA-WARNI TEPI SUNGAI LIBercuti di Guilin, China, terasa tidak lengkap sekiranya tidak ke Yangshuo, kira-kira sejam perjalanan menaiki bas untuk sampai ke sana dari Guilin. Berkunjung ke sana dalam musim sejuk juga memberi pengalaman berbeza. Ada orang lebih suka membeli-belah sekiranya bercuti, ada pula yang mahukan aktiviti lawatan bagi mengenali suasana rakyat tempatan. Ada juga yang mahukan aktiviti lasak. Ada yang mahukan kedua-duanya atau ketiga-tiganya sekali. Tidak kurang yang sekadar mahu menenangkan fikiran, berehat di bilik sambil menonton televisyen dan melayari Internet. Masing-masing ada kecenderungan dan pilihan sendiri.
 Aktiviti merentas desa, berbasikal dan menelusuri Sungai Li menggunakan rakit juga memberi kenangan manis pada sekumpulan kecil warga Malaysia yang berkunjung ke Guilin baru-baru ini. Aktiviti ini dinanti-nanti kerana ia pengalaman baru bagi mereka.
 Kumpulan ini ada yang kawan lama, ada juga yang baru berkenalan ketika kunjungan ke Guilin itu. Walaupun kepenatan dan kesejukan merentas desa dengan berbasikal, gelak tawa bergema selalu kerana masing-masing bercerita pengalaman sendiri yang sudah begitu lama tidak berbasikal. Ada juga takut-takut sekiranya sudah lupa mengayuh basikal. Namun, ada acara kemuncak yang pasti membuatkan semuanya tersenyum manis apabila mengingatinya. Ia sesuatu yang di luar dugaan dan berlaku ketika melakukan aktiviti berakit. Sebelum berpatah balik ketika berakit di Sungai Li, pemandu rakit berhenti di satu perhentian umpama pelantar kecil. Di situ, mereka lihat tergantung pakaian cantik tradisional China yang berwarna-warni.
 Hati masing-masing tertanya-tanya. Mungkinkah ada orang berkahwin atau ada yang membuat penggambaran?
 Segala pertanyaan terjawab apabila kami diberitahu kami boleh memakai pakaian itu untuk tujuan bergambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan sungai dan bukit-bukau yang indah di Sungai Li.
 Semua yang mendengarnya teruja. Ini peluang yang tidak harus dilepaskan kerana dapat menggayakan pakaian tradisi yang terang-terang belaka warnanya. Penulis sendiri tidak menyangka ahli rombongan itu terutama wanita memang berani.
 Entah mengapa semuanya seperti sangat tertarik dengan baju bergantungan itu. Mungkin kerana harga yang ditawarkan kira-kira RM10, ia sangat murah pada mereka. Gambar siap dibalut plastik kekal dan dibingkaikan.
 Masing-masing terus berebut-rebut memilih pakaian dan warna yang digemari dengan bantuan pekerja di situ. Memang kecoh dan bising dengan suara orang Malaysia. Terkeluar loghat Perak dan Negeri Sembilan yang membuatkan gelak-tawa sentiasa bergema.
 Ada gaun kembang, lengan panjang dan lengkap hiasan kepala berambu-rambu. Ini mudah saja menarik perhatian kaum wanita yang suka bergaya. Apa lagi, melentuk kepala mereka dengan perhiasan yang cantik itu.
 “Dulu ketika melancong di Beijing pun saya bergambar mengenakan pakaian tradisional di sana. Kali ini mesti tak mahu lepaskan peluang,” kata Nortisah Omar yang menggayakan pakaian berpasangan dengan suaminya.
 Norsiah Acil dari Shah Alam pula mengambil peluang bergaya dengan anak bongsunya, Ain Syabiha. Masing-masing mengembangkan gaun berlatarbelakangkan suasana tenang Sungai Li. Ain, 15, seperti ibunya juga pandai bergaya di hadapan kamera.
 Dua sahabat, Khamisah Mohd Nazri dan Salina Ibrahim memilih warna kontra, kuning dan merah jambu terang, masing-masing kelihatan seperti wanita tradisional Cina. Mereka semua bergambar dan saling mengusik melihat penampilan masing-masing.
 Anak saudara Khamisah, Adam Iskandar Ridzuan, 16, tidak mahu melepaskan peluang memakai pakaian tradisional Cina yang menampakkan dia bertambah segak di tepian Sungai Li. Pengalaman barunya itu pasti diusik oleh ahli keluarganya apabila melihat gambar yang dibawa pulang tetapi ternyata Adam anak remaja yang sukakan cabaran dan sangat menjaga ibu saudaranya sepanjang percutian itu.
 Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/30 / HMetro
Hah, inilah busana yang diceritakan dalam rencana Kusyi.
Pelik  gamaknya  orang China perati perangai orang Malaysia. Mengada-ada betul rupa semua orang!  :)

Wednesday, February 06, 2013

cerita Januari lalu

Januari berlalu. Pejam celik pejam celik, sudah masuk minggu pertama Februari. Januari saya agak padat ... seminar, dua bengkel penulisan, deadline yang tak habis-habis dan  sempat curi masa lari sekejap ke Yangshuo dan Guilin.


Pengalaman di bengkel penulisan DBP-USM di Kelantan antara yang menarik, sebabnya para peserta adalah kalangan pakar perubatan, doktor, jururawat, juruteknologi makmal dan mereka yang datang dari aliran sains. Latar belakang peserta yang berbeza beri peluang pada saya untuk belajar sesuatu daripada mereka. Akhirnya saya  berjumpa Prof Madya Dr Nik Hazlina Nik Hussain yang ruangan Soal Jawab Doktor kendalian beliau di Mingguan Malaysia sering saya tatap. Beliaulah 'orang penting' di sebalik penganjuran bengkel ini.   

Bengkel Penulisan DBP-USM di kampus USM Kubang Kerian, Kelantan


Bengkel di UiTM Melaka juga tak kurang mengujakan kerana sebahagian besar peserta adalah pelajar komunikasi massa yang memang sudah biasa dengan aspek penulisan. Terima kasih kepada Puan Raihan dan anak-anak buahnya yang mengundang saya. Terima kasih juga kepada Puan Siti Hawa yang hadir mendengar. Bangga dapat bertemu warga UiTM Melaka.

Bengkel Penulisan Kreatif di kampus UiTM, Lendu, Melaka.

Cerita di Yangshuo dan Guilin?  Entri lainlah, kalau sempat!

Tuesday, January 08, 2013

Mengejar atau dikejar?


Tarikh akhir... dikejar atau mengejar? Ketika bertugas sebagai wartawan majalah dan akhbar suatu ketika dahulu, saya selalu dikejar editor. Kemudian apabila jadi editor majalah, saya pula mengejar wartawan apabila menjelang deadline. Kadangkala belum sempat saya mengejar mereka, mereka kejar saya dahulu apabila ada beberapa tugasan yang menuntut perhatian segera. Kemudian dikejar lagi oleh pereka grafik, pihak pengurusan dan jabatan sokongan lain kerana semua orang hendak siapkan kerja masing-masing tepat pada masa. Selepas bekerja sendiri, masih tak lepas daripada deadline, terutamanya apabila kerja-kerja datang serentak. Deadline tidak diberikan tetapi sendiri mesti buat deadline, kalau tidak, semuanya tidak dapat disiapkan pada masa yang ditetapkan.  Pendek kata, sama ada kerja sendiri atau kerja makan gaji, tetap ada deadline. Hidup kita manusia memang penuh deadline. Maka, selamat bergembira dan menikmati deadline anda... :)

Tuesday, December 18, 2012

selamat dilancarkan



 SAYA tumpang bangga apabila antologi cerpen & puisi hasil Minggu Penulis Remaja 2011, akhirnya terbit.  Kalam Pertama, judulnya. Rasa berbaloi juga ‘mengejar’ (bekas) peserta selepas MPR, menyunting karya mereka dan menguruskan kerja-kerja belakang tabir. Buku ini selamat dilancarkan oleh Datuk Johan Jaaffar yang juga salah seorang pengasas MPR (nama asal Minggu Remaja) sempena Perhimpunan Alumni MPR ke-2, di Melaka, baru-baru ini.  Harap-harap ini jadi permulaan yang baik....

Datuk Johan Jaaffar melancarkan buku Kalam Pertama, disaksikan oleh
Ketua Pengarah DBP, Dr Awang  Sariyan
dan  Ketua Bahagian Sastera Kanak-kanak & Remaja, Puan Norimah Bajuri.

Monday, October 22, 2012

Kalau mereka tak jadi penulis...


RASA bahagia melihat foto-foto ini. Masih teringat-ingat wajah riang adik-adik pelajar SMK Seksyen 8, Kota Damansara yang mengikuti ceramah penulisan minggu lepas. Sehingga usai program, ada yang mengekori saya sehingga ke kereta sebab mahu bertanya mengenai penulisan. Usia mereka masih muda, antara 13-15 tahun, tetapi mereka kelihatan teruja sebab mendapat pengetahuan baru. Kalau mereka tak menjadi seorang penulis, memadai jadi seorang pembaca, menghargai buku dan kesusasteraan kebangsaan. Selamat buat adik-adik ini.