Tuesday, September 03, 2013

Mengapa Kena Tolak?

SAYA menerima beberapa pertanyaan daripada calon pengarang/baru/muda yang meluahkan rasa kecewa kerana manuskrip novel mereka ditolak oleh penerbit. Selalunya ditolak oleh penerbit tanpa diberikan alasan apa-apa. Mereka tertanya-tanya mengapa manuskrip mereka ditolak, apa yang tak kena, apa yang tak menarik dan tak adakah cara untuk manuskrip itu diterima selepas diberikan penambahbaikan. Penerbit (yang diwakili oleh editor) selalunya tiada masa hendak menjelaskan semua ini.  Mereka ada banyak tekanan kerja yang lain dan 1,001 deadline  yang perlu didahulukan. Kecuali manuskrip itu ada potensi dan editor amat berminat, editor mungkin akan ‘luangkan masa’ untuk memberi tunjuk ajar.

Umumnya ada beberapa sebab mengapa manuskrip ditolak. Sebab utamanya adalah...

1) Manuskrip tak sesuai untuk terbitan penerbitan berkenaan. Setiap penerbit ada selera dan kekuatan masing-masing. Ada penerbit kuat dengan novel remaja & kanak-kanak, ada penerbit sinonim dengan novel cinta, ada penerbit dikenali sebagai penerbit karya sastera, ada penerbit dengan karya underground. Oleh itu calon pengarang harus mencari penerbit yang sesuai dengan manuskripnya dan jangan anggap penerbit akan terima apa sahaja manuskrip.

Bagaimana nak cari penerbit yang sesuai?  Kenalah rajin cari, baca dan selidik penerbit-penerbit yang ada. Sekarang mudah sangat hendak ‘kenal’ penerbit; kebanyakannya ada web, FB, Twitter bagai. Bukan setakat kenal penerbit tapi bacalah juga novel yang diterbitkan mereka, terutamanya terbitan mereka yang terkini. Ini penting untuk tahu trend penerbit; mungkin tahun lepas, mereka terbitkan genre itu tapi tahun ini tak lagi.  Oleh itu, baca genre terbitan mereka yang terkini. Telitikan novel-novel terbitan mereka, gaya bahasanya dan cerita yang disampaikan. Ini dapat jadi panduan kepada calon pengarang mengenai selera penerbit.

Ada beberapa perkara lain kita kena ingat. Kadang-kadang manuskrip yang ditolak, bukan sebab manuskrip itu tak bagus tapi kerana tak sesuai diterbitkan oleh penerbit berkenaan pada ketika itu. Kadangkala ada 1-2 perkara dalam manuskrip itu yang perlu dibuang/diubah/dipinda untuk menjadikannya sesuai diterbitkan.  

2) Selain itu terdapat juga beberapa alasan lain seperti:

i. Plot dan jalan cerita yang tak kena, tak logik, tak munasabah, tak menarik atau terlalu biasa. Apabila plot novel tak munasabah,  editor memang tak dapat bantu dan cara paling senang adalah menolak manuskrip itu.

ii. Tatabahasa yang banyak kesalahan, terlalu banyak kesilapan teknikal seperti ejaan salah, penggunaan tanda bacaan yang tak tepat, kesalahan tipografi (menaip) dan seumpama dengannya. Kesalahan teknikal ini memang dapat dibetulkan oleh editor (memang tugas editor untuk buat suntingan) tapi kalau terlalu banyak kesalahan, editor pun tak kuasa. Bahasa bisu editor (yang selalunya tak disuarakan kepada calon pengarang), "Balik belajar bahasa dulu dan belajar menaip sebelum tulis novel!"

Hakikatnya, manuskrip yang ditolak penerbit adalah perkara lazim bagi pengarang.   Orang yang sudah menulis berpuluh tahun pun biasa menghadapi penolakan, apatah lagi orang yang baru bermula. Sekali manuskrip ditolak oleh penerbit, tak  bermakna kena putus asa dan berhenti menulis. Hendak jadi penulis, mesti berjiwa besar; tak boleh sekali manuskrip ditolak, terus merajuk dan tak mahu menulis. Janganlah mengeluh, "saya hantar pada lima penerbit, semua kelima-limanya tolak!" Belajar lagi dan tulis lagi. Insya-Allah peluang yang baik itu akan muncul.  


Selamat menulis.

4 comments:

Tetamu Istimewa said...

Assalamualaikum, Kak Salina. Lama menyepi di blog ya.

Satu perkongsian maklumat yang baik. Dapat membakar penulis muda seperti saya ni untuk terus bersemangat.

Sya Haina said...

Saya ada 2 manuskrip... Nak jual lump sum.... Saya tak ada masa nk bertemu dgn penerbit2... Berbaloikah kalau nak jual lump sum kepada sesiapa yg berminat?

Salina Ibrahim said...

Sdr Sya Haina, secara peribadi saya tak galakkan calon pengarang atau pengarang jual manuskrip secara lump sum.

Pertama: Bayangkan kemungkinan ini, novel sdr mendapat sambutan dan diulang cetak berkali-kali. Disebabkan sdr. telah menjual karya secara lump sum, maka penerbit boleh untuk tidak membayar satu sen pun kepada sdr. hasil jualan ulang cetak itu. Ini kerana penerbit sudah membayar sejumlah wang ketika kali pertama dia membeli manuskrip itu.

Kedua: Untuk jangka masa panjang, katakan sekiranya karya sdr. terpilih untuk dijadikan teks sekolah atau seumpama dengannya yang akan digunakan secara meluas dalam jangka masa tertentu, penerbit akan mencetak karya sdr. dengan jumlah yang besar dan sekali lagi sdr. mungkin tidak akan mendapat apa-apa imbuhan kerana sdr sudah lepaskan hak sdr.

Hanya mengemukakan pendapat. Apa pun, hanya sdr yang faham manuskrip yang sdr kerjakan dan kemungkinan masa depan manuskrip itu.

Selamat berjaya.

Zaitun Salleh said...

Terima Kasih untuk tip penulisan ini,.amat berguna untuk saya mengkaji semula kesalahan karya saya kerana saya memang bermasalah dlm bidang penulisan ini dari segala segi,.tatabahasa,ejaan,plot cerita dan sebagainya,..